Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPauh Putra – “Sebagai antara universiti yang memainkan peranan yang utama dalam mengarusperdanakan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) optimis untuk mentransformasikan sistem pendidikan TVET secara berterusan.”
Usaha mengangkat dan memartabatkan pendidikan TVET di Malaysia ini memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak, khususnya pemain industri supaya dapat menyediakan program yang berkualiti dan relevan, serta memenuhi kehendak pasaran.
Demikian titah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyaksikan Majlis Menandatangani Tempoh Lanjutan Perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UniMAP dengan Lodz University of Technology dari Poland yang berlangsung di Ruang Pejabat Naib Canselor UniMAP, Kampus Alam Pauh Putra, baru-baru ini.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli dan Rektor Lodz University of Technology, Profesor Dr. Krzystof Jozwik yang menandatangani bagi pihak universiti masing-masing.
Turut hadir bersama-sama dalam majlis MoU tersebut ialah Dekan Fakulti Kimia, Profesor Dr. Malgorzata Iwona Szynkowska-Jozwick dan Pengarah Pusat Hubungan Antarabangsanya, Dr. Dorota Piotrowska.
Perjanjian kerjasama yang asalnya ditandatangani sempena lawatan khas Tuanku Raja Muda mengetuai delegasi UniMAP ke Poland pada tahun 2018 ini telah terbukti berjaya memberikan manfaat dari segi dapat meningkatkan penyeliaan pelajar pascasiswazah luar negara, meningkatkan kualiti penerbitan universiti dan memberikan pengalaman dan ilmu baharu kepada pelajar dan staf, serta dapat meningkatkan kolaborasi bersama dalam bidang pengajaran dan penyelidikan.
Mengulas lanjut, MoU ini juga dapat menyumbang kepada kedudukan MyRA UniMAP sepanjang tempoh MoU ini terjalin dari segi kerjasama penyelidikan, penerbitan dan mobiliti staf dan pelajar.