Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPauh Putra – Kecemerlangan pasukan Perlis dalam sukan woodball terus terserlah apabila mengungguli separuh daripada pelbagai kategori yang dipertandingkan dalam Kejohanan Woodball Terbuka dan Jemputan Antarabangsa Perlis 2023 yang berlangsung di Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kampus Alam Pauh Putra.
Kejohanan ini yang merupakan acara tahunan anjuran oleh Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) dengan kerjasama UniMAP selama tiga hari berakhir pada 3 Disember 2023.
Penganjuran pada tahun ini dimeriahkan dengan kehadiran peserta dari Kelab Woodball Sing Songkhla Thailand, iaitu seramai 20 orang peserta dan 285 orang pemain secara keseluruhannya telah bersaing dalam pelbagai kategori.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang merupakan Pengasas PWNPs berkenan mengurniakan anugerah kepada pemenang di ruang legar Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, UniMAP.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Datuk Profesor Zaliman Sauli; Presiden PWNPs, Datuk Prof. Emeritus Ts. Dr. Kamarudin Hussin; dan Presiden Malaysia Woodball Association (MWA), Elaine Tan.
Antara pemain pasukan Perlis yang unggul menjuarai kategori masing-masing pada kejohanan kali ini, termasuklah Lelaki Perseorangan, Suhaimi Ahmad dari pasukan Perlis A; Remaja Lelaki Bawah 21 tahun, Muhamad Aiman Haizad Ariff Fadilah dari pasukan Perlis; Veteran Lelaki, Zulfikar Abdullah dari pasukan Perlis A; Bergu Lelaki Terbuka, Azhar Abdul Wahab dan Hasfizal Samad dari pasukan Perlis A dan Bergu Wanita Terbuka, Qistina Mohd Reffal dan Diyana Mohd Reffal dari pasukan Perlis C, serta Mixed Double Terbuka jatuh kepada Azhar Abdul Wahab dan Asmawana Aziz dari pasukan Perlis B.
Kategori utama kesemuanya dibolot oleh pasukan Perlis, seperti Terbuka Pasukan Lelaki dimenangi oleh Suhaimi Ahmad, Mohd Faizal Othman, Mohd Fazli Mohamed dan Zulfikar Abdullah dari pasukan Perlis A, manakala bagi Kategori Pasukan Wanita pula dimenangi oleh Nor Rinda Ramli, Qistina Mohd Reffal, Diyana Mohd Reffal dan Asmawana Aziz dari Perlis A.