6 Disember 2023, 19:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Khairul Azhar Baharuddin

Putrajaya – “Pendidikan karakter merupakan antara tiga pendekatan baharu yang diperkenalkan dalam Kurikulum Persekolahan 2027 yang akan dilaksanakan secara berperingkat, iaitu bermula dengan murid prasekolah pada tahun 2026 dan murid tahun 1 dan tingkatan 1 pada tahun 2027.”

YB Fadhlina Sidek ketika menyampaikan ucapan dalam “Bicara Profesional Kurikulum Persekolahan 2027.”

Demikian ucapan yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek ketika sesi “Bicara Profesional Kurikulum Persekolahan 2027” yang diadakan di Auditorium Kompleks E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya pada petang ini.

Selain itu, YB Fadhlina turut berkata bahawa terdapat dua lagi pendekatan baharu yang akan diperkenalkan dalam kurikulum tersebut iaitu penekanan literasi dan numerasi serta kelas pembelajaran bersepadu.

“Intervensi awal akan diberikan bagi membantu murid yang menghadapi masalah untuk menguasai kemahiran literasi dan numerasi,” ulas beliau berkaitan dengan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menangani masalah keciciran murid.

Kurikulum Persekolahan 2027 turut memperkenalkan tiga pendekatan baharu dan holistik yang merupakan antara usaha KPM dalam memastikan sistem pendidikan negara tidak menumpukan pencapaian akademik semata-mata.

Perubahan Kurikulum Persekolahan 2027 adalah berdasarkan sesi libat urus, resolusi persidangan dan kajian kurikulum bagi memastikan kurikulum yang fleksibel, relevan dan kontekstual ke arah mencapai budaya pendidikan sepanjang hayat dan melahirkan generasi yang berdaya tahan.

YB Fadhlina berkata,

Karamah Insaniah merupakan antara tunjang dalam pembangunan Kurikulum Persekolahan 2027 kerana KPM sentiasa fokus terhadap pendidikan manusiawi dan usaha melahirkan murid yang bersahsiah tinggi.

Mengenai pentaksiran, Kurikulum Persekolahan 2027 akan memperkasakan pelaksanaan pentaksiran bilik darjah yang bertujuan mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid yang akan dilakukan secara holistik.

“Melalui PBD, guru akan menilai proses pembelajaran murid dan membantu murid meningkatkan keupayaan dan potensi mereka dalam setiap tugasan yang diberikan,” tambah beliau.

Mengulas dengan lebih lanjut, tumpuan pembelajaran tidak lagi hanya tertumpu terhadap hasil tugasan semata-mata dan pendekatan tersebut akan menjadikan pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas menjadi lebih fleksibel dan menyeronokkan.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sektor Operasi Sekolah, YBrs. Tuan Haji Azman ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam “Bicara Profesional Kurikulum Persekolahan 2027” pada petang ini.

Pada masa yang sama, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sektor Operasi Sekolah, YBrs. Tuan Haji Azman bin Haji Adnan berkata bahawa kurikulum kebangsaan amat penting dalam mencorakkan generasi masa hadapan.

Tambah beliau, kejayaan murid tidak hanya tertumpu pada akademik semata-mata, namun kejayaan murid tersebut turut mencakupi budaya berdaya saing sehingga peringkat global.

Kerangka Kurikulum Persekolahan 2027 ini akan dibahaskan dan diperincikan secara tuntas melalui “Program Jelajah Pendidikan Masa Hadapan” dan dalam sesi libat urus yang bersasar.

YB Fadhlina Sidek bersama-sama pengurusan tertinggi KPM dan tetamu yang hadir ketika sesi bacaan ikrar yang dilaksanakan sebelum program berlangsung.

Yang turut hadir dalam “Bicara Profesional Kurikulum Persekolahan 2027” ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPM, YBrs. Tuan Ramzi bin Mansor; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), YBrs. Tuan Haji Azman bin Adnan; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme), YBrs. Tuan Haji Shafruddin bin Haji Ali Hussin; Pegawai Kanan KPM dan warga pendidik.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.