7 Disember 2023, 20:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Perempuan Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid bertitah, “Setiap penjawat awam perlu sentiasa melaksanakan kerja dengan cekap, bersikap profesional dan berintegriti.”

Titah baginda,

Perkhidmatan awam akan menjadi efisien dan seterusnya menyumbang kepada negara yang membangun, maju dan makmur.

“Para pegawai perkhidmatan awam pastinya telah menempuh pelbagai halangan dan menimba pelbagai ilmu pengetahuan dan menjadikan individu itu seorang yang berfikiran matang, terbuka serta prihatin untuk menyumbang kepada masyarakat.”

Demikian titah Tuanku Tengku Fauziah ketika berkenan berangkat menyempurnakan “Majlis Malam Menjunjung Kasih DYMM Tuanku Raja Perlis dan DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis Tahun 2023,” anjuran Hospital Tuanku Fauziah (HTF) yang berlangsung di Dewan Bakawali. Mes Pegawai Kanan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jalan Raja Muda di Kangar.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah HTF, Dr. Nordin Mohamed serta Pegawai-pegawai kanan hospital.

Turut berangkat sama ialah Raja Muda Perlis DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Puan Muda Perlis DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda kedua Baginda berdua, Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Pada majlis tersebut, Dr Nordin memaklumkan bahawa HTF telah menerima pelbagai pengiktirafan kualiti dan aspek pembangunan seperti menerima pensijilan AEMAS Energy Management Gold Standard (EMGS) ‘3 Star’ dan pensijilan Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP) serta Good Manufacturing Practice (GMP) mulai 27 Januari 2023 hingga 26 Januari 2026.

HTF juga turut menerima pensijilan Halal Perkhidmatan Sajian bagi tempoh 16 Januari 2023 hingga 15 Januari 2025, menerima pengiktirafan sebagai Hospital Rakan Bayi mulai 26 Julai 2023 – 25 Julai 2026 dan pensijilan Hospital Mesra Ibadah.

Dr. Nordin turut menyatakan, pencapaian ini adalah bukan sahaja hasil daripada usaha warga kesihatan negeri Perlis khususnya warga Hospital Tuanku Fauziah, namun juga adalah berkat hasil sokongan serta sokongan yang diberikan oleh Duli-Duli Tuanku jua.

“Hospital Tuanku Fauziah juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di atas inisiatif bersama Hospital Tuanku Fauziah dalam mewujudkan bangunan Perkhidmatan Dialisis yang kini telah beroperasi dengan jayanya”, tambah beliau lagi.

Majlis tersebut telah dianjurkan oleh Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.