30 Januari 2024, 11:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kredit foto: Khairul Azhar Baharuddin dan Hanafi Mohd Yusof

Kuala Lumpur – Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli ke Dataran Parlimen pada pagi ini untuk menghadiri Istiadat Keberangkatan Balik bersempena dengan tamat tempoh perkhidmatan.

Kenderaan Seri Paduka YDPA Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dilihat meninggalkan pekarangan Istana Negara menuju ke Dataran Parlimen.

Ketibaan Seri Paduka YDPA dan Raja Permaisuri di Dataran Parlimen disambut dengan tiupan nafiri oleh 22 anggota Skuadron Istiadat Berkuda yang berpangkalan di Kem Sungai Buloh, Selangor dan diketuai oleh Sarjan Ismail Katirin.

Seri Paduka berdua disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis; serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan isteri, Datin Seri Ruziah Mohd Tahir.

Seri Paduka YDPA dan Raja Permaisuri kemudiannya diiring ke Pentas Diraja melintasi Pasukan Pengawal Tombak yang diikuti dengan persembahan tabik “Hormat Diraja” daripada Pasukan Kawalan Kehormatan Utama.

Susulan daripada itu, lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja dan bendera peribadi Seri Paduka YDPA direndahkan serentak dengan tembakan meriam sebanyak 21 das oleh Pasukan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat).

Seri Paduka YDPA kemudian berkenan memeriksa 103 anggota pasukan Kawalan Kehormatan Utama dan empat pegawai daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Adibadiuezshah Ahmad.

Istiadat tersebut diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Profesor Madya Dr. Luqman Abdullah dan persembahan tabik “Hormat Diraja” serta iringan lagu Negaraku buat kali kedua.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bergerak meninggalkan Dataran Parlimen pada pukul 9.20 pagi menuju ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) di Sepang, Selangor.

Rakyat jelata yang menanti kelibat Seri Paduka YDPA Ke-16, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah di kawasan pekarangan istana.

Sepanjang perjalanan, Seri Paduka YDPA dan Raja Permaisuri memberikan lambaian kasih buat kali terakhir dan tersenyum mesra kepada rakyat jelata yang setia menanti dari awal pagi.

Sebagai catatan, istiadat memuliakan Keberangkatan Balik ini ada disebutkan dalam Sejarah Melayu, Sulalatus Salatin yang ditulis oleh Tun Seri Lanang dan merupakan adat yang diamalkan sejak berzaman lamanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.