11 Februari 2024, 15:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Stadium Tuanku Syed Putra bagi memastikan fasiliti sukan seperti kolam renang dan beberapa fasiliti di Kangar dalam keadaan baik.

Kangar – Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Stadium Tuanku Syed Putra dan beberapa tempat lagi bagi memantau serta menyediakan fasiliti sukan yang terbaik, khususnya sebagai persiapan dalam temasya Sukan Malaysia.

Raja Muda Perlis (kanan) sentiasa cakna dan prihatin terhadap pembangunan fasiliti sukan di negeri Perlis.

Sehubungan dengan itu, baginda mempelawa agensi kerajaan, swasta, Persekutuan dan persatuan sukan kebangsaan untuk mempertimbangkan pemilihan Perlis sebagai tempat temasya sukan tahunan sepanjang tahun 2024 hingga tahun 2026.

Selain segala kemudahan yang terdapat di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra Kangar yang dikendalikan oleh Majlis Sukan Negeri, Perlis juga mempunyai institusi pengajian tinggi, seperti Universiti Malaysia Perlis, Universiti Teknologi MARA Perlis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin dan Institut Pendidikan Guru Malaysia Kangar yang mempunyai pelbagai fasiliti sukan.

Institusi ini boleh juga menjadi perkampungan atlet bagi penyertaan besar, khususnya pada musim percutian pelajar mereka.

Tambah baginda,

Inisiatif ini turut diambil kira bersempena dengan kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025 dan juga Tahun Melawat Malaysia 2026.

Kunjungan tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti tambahan sempena Kayuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli di sekitar Behor Empiang, Kangar anjuran MAIPs, yang turut disertai oleh ketua jabatan dan agensi negeri serta Persekutuan dalam usaha menoktahkan kemiskinan dan menyantuni golongan yang memerlukan di Perlis.

Keberangkatan Tuanku Raja Muda Perlis disambut oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan Perlis, YB Tuan Wan Zikri Afthar Ishak dan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN), Mohd Azraai Zain Tusimin, serta warga kerja MSN Perlis.

Turut hadir bagi mempersembahkan taklimat ialah Jurutera Jabatan Kerja Raya Negeri, Muhammad Suhaimi Jamel dan Setiausaha Kehormat Persatuan Olahraga Amatur Perlis, Iyaru Muthusamy yang memaklumkan bahawa projek menaik taraf dan penambahbaikan sedang dijalankan di Stadium Tuanku Syed Putra yang dulunya dikenali sebagai Stadium Utama, termasuklah penggantian bumbung baharu, penggantian tempat duduk astaka, pembaikan trek balapan yang telah siap pada tahap 86 peratus dan dijangka selesai sepenuhnya pada penghujung April tahun ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.