Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) giat melaksanakan sesi libat urus (SLU) sebagai agenda penting dalam memastikan pembangunan pendidikan baharu yang bersifat komprehensif.
Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh berkata,
Pelan pembangunan pendidikan merupakan asas kepada garis panduan yang kukuh dalam sistem pendidikan negara ini.
Memandangkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013–2025 bakal ke garis penamat, maka KPM giat merangka pelan yang baharu melalui sesi libat urus.
Tambah beliau,
SLU ini menjadi testimoni dan bukti bahawa KPM sedang berusaha mengumpul maklum balas dan cadangan penambahbaikan daripada pihak berkepentingan, seperti penggiat industri, guru cemerlang, dekan fakulti pendidikan, majlis penasihat dan banyak lagi.
Demikianlah kata YB Wong Kah Woh dalam Sesi Libat Urus Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara Tahun 2024 di Hotel Tamu, Kuala Lumpur pada petang tadi.
Beliau memaklumkan bahawa sebanyak 724 pandangan telah pun dikemukakan oleh semua kumpulan diskusi.
Cadangan penambahbaikan tersebut membabitkan sebanyak 175 hal-hal berkaitan dengan dasar, 167 berkaitan dengan murid, 126 berkaitan dengan guru dan sebagainya.
Sementara itu, beliau mengatakan bahawa SLU ini bertujuan untuk mengenal pasti cabaran semasa sistem pendidikan, serta memberikan tumpuan terhadap pendidikan manusiawi yang memartabatkan ilmu pengetahuan.
Selain itu, hal ini turut menekankan aspek kemanusiaan yang seimbang dan berupaya memberikan sumbangan positif kepada pembangunan negara.
Tegas beliau dalam sidang media SLU itu,
Kesemua cadangan ini sememangnya sudah ada dalam pelaksanaan.
Selaku sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan berhasrat membawa Malaysia ke arah yang lebih progresif, warga KPM akan sentiasa bersedia untuk mendengar.
KPM akan mengambil maklum dan memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap idea dan cadangan baharu yang dikemukan.
Mengulas lanjut, Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara ini akan diikuti dengan lima perbincangan kumpulan berfokus dan Town Hall dirancang untuk dilaksanakan sepanjang tempoh Ogos hingga Disember 2024.
Beberapa bengkel analisis dan pemetaan akan dilaksanakan bagi memastikan input SLU dijadikan asas dalam membangunkan pelan pembangunan pendidikan yang baharu dan satu laporan analisis komprehensif berkaitan dengan bidang keberhasilan pendidikan diketengahkan.
Jurufoto: Mohd Farid Janudin