4 Mac 2024, 12:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pihak sekolah perlu menyesuaikan segala aktiviti di sekolah bersempena dengan bulan Ramadan yang akan bermula pada hari kedua atau ketiga selepas sekolah dibuka pada 10 Mac 2024 (Kumpulan A) dan 11 Mac 2024 (Kumpulan B).

Kantin sekolah juga akan dibuka sepanjang bulan Ramadan seperti yang termaktub dalam terma perjanjian antara pengusaha kantin dengan pihak sekolah.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), YBrs. Tuan Haji Azman Haji Adnan kepada sidang media dalam Majlis Amanat KPPM Bersempena dengan Pembukaan Sesi Persekolahan 2024/2025 di Auditorium Kompleks E, Putrajaya, pagi ini.

Majlis Amanat Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Bersempena dengan Pembukaan Sesi Persekolahan 2024/2025 berlangsung di Auditorium Kompleks E, Putrajaya, pada pagi ini.

“Ini merupakan tahun kedua kita melaksanakan pendekatan minggu pertama sesi persekolahan yang tidak memasukkan sesi pembelajaran dalam bilik darjah tetapi diisi dengan program yang dapat menarik minat murid untuk hadir ke sekolah,” ujar beliau lagi.

Dalam majlis tersebut, KPPM menekankan peranan semua pemegang taruh seperti guru, sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) dalam kesiapsiagaan murid menghadapi sesi persekolahan baharu.

Beliau turut menyatakan komitmen Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memperkukuh dan meneruskan dasar KPM bagi menjamin kualiti pendidikan negara seperti Peluasan Kelas Prasekolah, Pendidikan Manusiawi dan Dasar Pendidikan Digital.

Beliau mengakhiri ucapan amanatnya dengan seruan kepada warga pendidik untuk melaksanakan perancangan dan tindakan yang rapi, intervensi yang bersesuaian serta tindak susul yang berimpak demi kemenjadian murid di sekolah.

“Saya berharap agar segala aspirasi ini dapat diterjemahkan oleh seluruh warga KPM melalui tindakan dan gerak kerja pada setiap peringkat.”

Kredit foto: Mohd Farid Janudin

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.