Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan Sekarang
Ipoh – Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek pada hari ini mengimarahkan Jaulah Ramadan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan menyantuni murid sekolah di negeri Perak bagi mengeratkan hubungan ukhuwah.
YB Fadhlina berkata, Program Jaulah Ramadan yang dipertanggungjawabkan kepada Yayasan Didik Negara ini dilakukan untuk menzahirkan semangat kebersamaan semua peringkat warga KPM, termasuklah pengurusan tertinggi KPM dan pihak sekolah.
Tambah beliau,
Antara pengisian yang diadakan termasuklah, tadabbur al-Quran, takzirah, majlis berbuka puasa, terawih, moreh dan majlis bersahur, di samping memberikan sumbangan kepada asnaf.
Sebanyak tiga sekolah dikunjungi oleh Menteri Pendidikan bersama-sama pengurusan tertinggi kementerian, iaitu Sekolah Raja Perempuan Taayah, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Maahad Al-Ummah dan Sekolah Raja Permaisuri Bainun.
Menerusi Program Jaulah Ramadan ini, KPM bakal menjelajah 48 buah sekolah terpilih di seluruh negeri sepanjang Ramadan ini.
Demikian ujar beliau dalam sidang media Jaulah Ramadan KPM di Sekolah Raja Perempuan Taayah pada hari ini.
Beliau memaklumkan bahawa program tersebut akan dilaksanakan di beberapa sekolah terpilih mengikut peringkat negeri, iaitu Perak, Melaka, Pahang, Pulau Pinang dan Johor.
Dalam majlis tersebut, Menteri Pendidikan turut mengambil kesempatan beramah mesra dengan murid dan warga Sekolah Raja Perempuan Taayah.
Pada kesempatan tersebut, beliau menasihati murid agar memupuk penghayatan nilai-nilai murni ke arah peningkatan keunggulan sahsiah diri dan pencapaian dalam pendidikan.
YB Fadhlina juga melalui Yayasan Didik Negara (YDN) turut menyampaikan sumbangan kepada 150 orang murid asnaf di sekolah berkenaan.
Dalam perkembangan yang lain, delegasi KPM bersama-sama menunaikan solat terawih dan tazkirah di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Maahad Al-Ummah.
Program Jaulah Ramadan ini dihadiri oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Tuan Haji Azman Haji Adnan; Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Encik Abu Hanifah @ Fauzi Zahari; Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, YBrs. Dr. Rodiah Idris; Pengarah Pendidikan Negeri Perak, YBhg. Dato’ Mohamad Fauzi Mahson; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Didik, Encik Hardian Hadir; Pengarah Jabatan Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Puan Fauzilahyatun Mustafa; Ketua Pegawai Kewangan RHB Islamic Bank Berhad, Encik Khairul Hakeem Mohamed Sahari; Pengetua SMK Jelapang Jaya, Puan Fikriah Haji Zawawi dan para pegawai dari KPM dan DBP.
Sumber foto: KPM