19 Mac 2024, 07:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Menteri Pendidikan semasa menghadiri Program Jaulah Ramadan di SMK Raja Permaisuri Bainun, pagi ini.

Ipoh – Bersempena dengan Ihya’ Ramadan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meneruskan lagi Program Jaulah Ramadan dengan aktiviti bersahur dan qiamulai bersama-sama pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Permaisuri Bainun pada pagi ini.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek berkata, program di bawah Bahagian Pendidikan Islam itu diadakan bagi mengeratkan hubungan dan ikatan ukhuwah dalam kalangan warga sekolah dan KPM, di samping pengisian ilmu yang bermanfaat.

Saya berharap agar majlis ini dapat memberikan manfaat yang berupa pemahaman dan kesedaran terhadap pembangunan modal insan, sekali gus melahirkan generasi yang memiliki sifat ihsan dan empati.

Sumbangan ramadan diagihkan oleh YB Fadhlina kepada beberapa pelajar asnaf di SMK Raja Permaisuri Bainun.

Ujar beliau ketika menyantuni para pelajar,

Dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan ini, diharapkan kita dapat melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, jasmani, emosi, intelek dan sosial.

Dalam melahirkan Anak yang Baik lagi Cerdik (ABC), beliau berharap agar semua pihak bersama-sama berganding bahu dalam usaha pembangunan modal insan yang memiliki karamah insaniah, termasuklah jati diri yang tinggi.

Mengulas lanjut, Program Jaulah Ramadan yang diadakan di tiga buah sekolah, iaitu Sekolah Raja Perempuan Taayah, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Maahad Al-Ummah dan Sekolah Raja Permaisuri Bainun di Perak merupakan lokasi bagi fasa pertama Program Ihya’ KPM sepanjang Ramadan pada tahun ini.

Pada masa yang sama, jelas beliau,

Selain memperkukuh hubungan antara warga kementerian dengan pentadbir sekolah, program ini bertujuan untuk meninjau keperluan bantuan dan peruntukan lain pada peringkat sekolah.

Menerusi program kerjasama dengan Yayasan Didik Negara itu, YB Fadhlina telah menyempurnakan agihan sumbangan kepada 150 orang pelajar asnaf di ketiga-tiga sekolah berkenaan.

YB Fadhlina dan Tuan Haji Azman Haji Adnan ketika menyantuni pelajar.

Program Jaulah Ramadan ini dihadiri oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Tuan Haji Azman Haji Adnan; Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Encik, Abu Hanifah @ Fauzi Zahari; Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, YBrs. Dr. Rodiah Idris; Pengarah Pendidikan Negeri Perak, YBhg. Dato’ Mohamad Fauzi Mahson; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Didik, Encik Hardian Hadir; Pengarah Jabatan Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Puan Fauzilahyatun Mustafa; Pengetua Cemerlang SMK Raja Permaisuri Bainun, Tuan Haji Anuar Mamat; Ketua Pegawai Kewangan RHB Islamic Bank Berhad, Encik Khairul Hakeem Mohamed Sahari; dan para pegawai dari KPM dan DBP.

Sumber foto: KPM

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.