26 Mac 2024, 22:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohd Farid Janudin

Kuala Lumpur – “Penulis perlu bersikap jujur dalam penulisan, fakta dan data yang dinyatakan dalam karya hendaklah yang sahih, bukan rekaan dan bukan yang dimanipulasikan.”

Demikian menurut Pengarah Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Puan Fauzilahyatun Mustafa dalam Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu. Beliau membentangkan kertas kerja berjudul “Etika dalam Penulisan dan Hak Cipta Dewan Bahasa dan Pustaka” dalam Sidang Pleno 2 yang bertemakan Hak Cipta dan Karya.

Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa.

Tambah beliau lagi, penulis perlu mengetahui tentang etika dalam penulisan agar dapat mencegah daripada berlakunya pelanggaran hak cipta dan sekali gus menjadi panduan kepada penulis untuk memahami tatacara penulisan yang baik serta menghasilkan karya yang berkualiti.

Dalam menangani isu yang berkaitan dengan hak cipta, DBP berusaha memastikan manuskrip yang diterima mematuhi piawaian yang ditetapkan dan penulis perlu mendapatkan keizinan terbit terlebih dahulu daripada sumber asal sebelum menghantar sesuatu karya kepada DBP.

Terdahulu dalam Sidang Pleno 2, Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Profesor Dr. Nazura Abd. Manap menjelaskan tentang urusan wajar dalam Akta Hakcipta 1987.

Profesor Dr. Nazura Abd. Manap.

“Urusan wajar mempunyai skop yang lebih sempit berbanding dengan penggunaan wajar. Hal ini kerana urusan wajar boleh digunakan hanya untuk tujuan tertentu, manakala penggunaan wajar hanya pelulus ‘ujian kewajaran’ walaupun digunakan untuk tujuan yang tidak dinyatakan.”

Seminar tersebut juga mengundang Pengarah Urusan Rimau Rights Sdn. Bhd., Encik Mohd Azree Mohd Arifin yang menjelaskan tentang potensi pengembangan hak cipta yang lebih besar dan prasyarat pengembangan hak cipta serta industri utama yang terlibat dengan urusan hak cipta.

Sesuai dengan tema sidang, isu cetak rompak yang melibatkan salinan langgaran dan cetak rompak digital juga turut dibincangkan oleh Timbalan Pengarah, Universiti Utara Malaysia (UUM) Press,  Puan Rosma Ishak.

Menurut Puan Rosma, berdasarkan pengalaman UUM Press menangani isu cetak rompak menunjukkan bahawa pemantauan kendiri mesti dilakukan oleh penerbit buku dan tidak boleh bergantung pada pihak lain untuk membuat pemantauan.

Beliau turut menerangkan bahawa penerbit MAPIM yang pernah mengalami kes buku yang dicetak rompak mempunyai kaedah pemantauan tertentu dan sentiasa bertindak sendiri jika terdapat aduan dan bukti.

Katanya lagi, “Penerbit MAPIM perlu lebih peka dan menambah baik tindakan pemantauan aktiviti cetak rompak. Penerbit MAPIM disarankan untuk menyediakan pelan pemantauan kendiri berkala yang dapat menyumbang kepada pencegahan aktiviti cetak rompak.”

Selain itu, beliau juga menerangkan tentang peranan Malaysia Reprographic Rights Centre (MARC), iaitu organisasi bukan kerajaan yang beroperasi di bawah peruntukan Akta Hak Cipta 1987 yang diberi mandat untuk mewujudkan pelesenan sebagai aktiviti advokasi bagi memperjuangkan hak penerbit dan pengkarya.

Sidang Pleno 2 yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, dipengerusikan oleh Ketua Editor Bahagian Majalah DBP,  YBrs. Dr. Rosmani Omar. Seminar ini berlangsung selama dua hari sehingga esok telah disempurnakan perasmiannya oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.