Oleh Rasoul Manan
14 Mei 2024, 12:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohd Farid Janudin

Kuantan – Forum Pendidikan sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan tahun 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sultan Ahmad Shah, pagi tadi menampilkan tiga ahli panel yang mambicarakan tentang inovasi dan kreativiti dalam menarik minat pelajar sejajar dengan perkembangan teknologi pada masa ini.

Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Encik Zainal Abas berkata bahawa tema pada tahun ini, iaitu “Guru Jauhari Digital, Aspirasi Malaysia MADANI” bertepatan dengan Dasar Pendidikan Digital (DPD) yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek baru-baru ini. Jelas beliau:

Encik Zainal Abas, berkongsi tentang dasar-dasar pendidikan sewaktu Forum Pendidikan diadakan pada pagi tadi.

“Seiring dengan perkembangan dunia, KPM sentiasa berusaha untuk menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada para pelajar agar mampu berdaya saing dan maju dalam semua perkara.”

“Dalam menggerakkan usaha itu, KPM menggariskan enam teras, iaitu murid fasih digital, pendidikan kompeten, budaya kepimpinan digital yang berwawasan, infrastruktur dan infrostruktur, kandungan digital berkualiti serta rakan strategik yang komited.”

Dalam usaha itu, sebanyak tujuh buah Pusat Kegiatan Guru (PKG) dan 16 Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP), Jabatan Pendidikan Negeri di seluruh negara diberikan tumpuan sebagai pusat kecemerlangan untuk inisiatif pendidikan digital. Tambah beliau:

Kesemua pusat ini dibekalkan dengan peralatan dan perkakasan studio digital dan hub penghasilan digital yang boleh digunakan oleh murid dan guru bagi meningkatkan kompetensi digital, membangunkan kandungan dan melaksanakan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Panel seterusnya, Cikgu Noraini Arshad, Ikon Guru Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negeri Kedah Tahun 2021 dari SMK Badlishah, Kedah turut berkongsi pengalaman beliau sebagai guru.

Menerusi perkongsiannya, beliau menyatakan bahawa sebagai guru yang mengajar mata pelajaran Prinsip Perakaunan, kaedah pengajaran bersifat konvensional secara berterusan tentunya menjadikan para pelajar bosan dan lesu.

Cikgu Noraini Arshad dari SMK Badlishah, Kedah.

“Oleh itu, saya menggunakan teknologi terkini untuk menarik dan membangkitkan semangat mereka supaya minat untuk belajar sesuatu yang baharu. Saya menghasilkan bahan sokongan PdP seperti penggunaan aplikasi Canva, Metaverse dan video-video pendek.”

 

Jelas beliau, perkara sebegini turut membangkitkan semangat para pelajar untuk terus belajar dan mempraktikkan ilmu dalam kehidupan.

Cikgu Noraini Arshad berkongsi maklumat tentang kaedah yang diguna pakai dalam menarik minat pelajarnya di dalam kelas.

Begitu juga dengan perkongsian oleh panel ketiga, iaitu Cikgu Nazmi Rosli dari SK Long Sebangan, Sarawak yang turut dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Guru Malaysia (Malaysian Teacher Prize) pada tahun 2023 dengan projek latihan simulasi di dalam bilik darjah.

Beliau berkongsi tentang pengalaman mengajar di sekolah pedalaman dan berjaya mengubah persepsi bahawa pelajar di kawasan kampung juga mampu berjaya dan bersaing dengan sekolah yang memiliki kemudahan yang lebih baik.

Oleh itu, apabila beliau mewujudkan latihan simulasi di bilik darjah, anak muridnya diperkenalkan dengan pengalaman kehidupan seperti menaiki kapal terbang, melawat zoo negara dan berenang di kolam renang yang menyebabkan mereka ingin hadir ke sekolah.

Mungkin nampak agak biasa bagi kita yang duduk di kawasan urban dan bandar yang membangun, namun pengalaman seperti ini merupakan satu detik keemasan bagi anak-anak yang menduduki kawasan pedalaman.

Bayangkan, menetap di kawasan yang terpencil dan cuma memiliki klinik kesihatan kecil, apabila diberi peluang untuk merasai pengalaman itu, mereka amat gembira dan ingin mengubah nasib melalui pelajaran.

Cikgu Nazmi Rosli menunjukkan video beliau ketika sesi pembelajaran di dalam kelas.

Beliau juga berkongsi cerita semasa berhasrat untuk memulakan Kelab Filem Pendek (Filpen) di sekolah. Menerusi kelab itu, murid berpeluang untuk menghasilkan karya masing-masing dengan membuat filem pendek.

Yang menariknya, filem pendek yang dihasilkan oleh mereka telah terpilih ke Festival Filem Seram di New Orleans, Amerika Syarikat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.