15 Mei 2024, 05:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kita jangan gantungkan cita-cita dan impian setakat perkara yang kita mahukan, kita harus ada keyakinan, kita harus ada semangat untuk mencapai kejayaan yang diimpikan dengan sebaik-baiknya. Yakin Boleh! Demikian ucapan Yang Berhormat (YB) Tuan Adam Adli Abd Halim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, sewaktu merasmikan program Semarak Hari Belia Negara 2024 yang diadakan di Dewan Podium, Menara KBS, Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya, pada hari ini.

Barisan tetamu kenamaan dan tetamu undangan memegang majalah Dewan Siswa Bil. 05/2024 yang menjadikan Hari Belia Negara sebagai kulit hadapan majalah.

Program Semarak Hari Belia Negara 2024 dianjurkan oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) turut mengadakan Konvensyen Belia Integriti Nasional dan program ini telah dihadiri oleh pelbagai persatuan belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Hari Belia Negara yang disambut pada 15 Mei pada setiap tahun merupakan pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan golongan belia kepada pembangunan negara. Belia merupakan pemacu pembangunan strategik negara yang dapat memperluas akses belia terhadap kerangka Malaysia MADANI dan Model Pembangunan Belia MADANI 2030.

Hari Belia Negara 2024 pada tahun ini mengangkat tema “Yakin Boleh”. Tema ini bukan hanya untuk menanam semangat yakin akan bakat dan potensi diri, malah meningkatkan penghayatan belia terhadap makna nasionalisme yang lebih luas. Hal ini selaras dengan perkembangan teknologi yang telah mengubah cara berfikir, cara kehidupan dan cara bekerja belia pada masa ini.

YB Puan Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan, melalui video perutusan Hari Belia yang ditayangkan melalui program ini mengatakan bahawa:

Belia Malaysia harus terus berusaha, berinovasi dan menjadi kebanggaan Malaysia. Malaysia memerlukan anda untuk mencapai kegemilangan dan kecemerlangan pada masa hadapan. Belia Malaysia yakin boleh!

YB Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan pula mengatakan bahawa Program Semarak Hari Belia yang diadakan ini merupakan inisiatif KBS untuk memberikan pengiktirafan dan meraikan sumbangan golongan belia terhadap negara. KBS juga berharap agar belia dapat mempamerkan sikap membenci amalan rasuah dan membuat keputusan yang wajar dalam setiap tindakan yang dilakukan.

YB Adam sempat meluangkan masa melihat majalah Dewan Siswa Bil. 05/2024.

Tema “Yakin Boleh” yang dipilih pada tahun ini menerapkan prinsip kecergasan dalam pemikiran dan daya juang yang tinggi dalam kalangan belia untuk menempuh kehidupan pada masa hadapan. Melalui prinsip ini, KBS akan berusaha untuk memastikan setiap perancangan terhadap golongan belia dalam negara berteraskan kepada realiti, kemahuan dan keperluan anak muda.

YB Adam Adli sewaktu menyampaikan ucapan dalam program Semarak Belia Negara 2024.

Menurut YB Adam Adli lagi:

Kami ingin membuktikan bahawa golongan belia mampu memimpin organisasi mahupun masyarakat. Saya juga yakin bahawa usaha daripada setiap belia pasti akan diingati sampai bila-bila dan menjadi api pemula untuk terus membakar semangat belia yang lain.

Encik Azman Aziz, Naib Presiden MBM, sewaktu diwawancara oleh wartawan JendelaDBP mengatakan bahawa belia harus meningkatkan kemahiran dengan teknologi terkini, seperti teknologi kecerdasan buatan atau AI.

Belia pada hari ini perlu melengkapkan diri dengan mempelajari ilmu baharu, kerana mereka mungkin akan mengisi tempat pekerjaan yang melibatkan teknologi Al. Oleh itu, belia harus mengambil ruang dan peluang serta inisiatif yang diberikan oleh kerajaan untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang teknologi AI.

Encik Peshminder Pall Singh (paling kanan) bersama-sama ahli MIYC yang turut hadir dalam program ini.

 

 

 

 

 

 

 

 

Encik Peshminder Pall Singh, Exco Majlis Belia India Malaysia (MIYC) Kebangsaan pula mengatakan bahawa negara memerlukan pelapis untuk menerajui kepimpinan negara, menurutnya:

Kita inginkan muka baharu untuk menjadi pelapis kepimpinan belia. Saya berharap agar belia yang masih lagi belajar terus menyambung pengajian pada peringkat universiti dan menyertai persatuan bagi menjayakan misi dan visi yang terbaik untuk negara.

Encik Lim Zhi Hong, Junior Chamber International (JCI) Malaysia pula sewaktu diwawancara mengatakan bahawa program ini memberikan peluang kepada NGO untuk meluaskan jaringan kerjasama dengan persatuan belia yang hadir pada hari ini, menurutnya:

Pelibatan kami dalam program ini sangat positif  dan baik sekali. Kami dapat meluaskan jaringan kerjasama dengan persatuan belia yang lain untuk melaksanakan program pada masa akan datang.

Encik Muhammad Ghazali Othman Setiausaha Agung, MBOKU Malaysia.

Encik Muhammad Ghazali Othman, Setiausaha Agung, Majlis Belia Orang Kurang Upaya Malaysia (MBOKU Malaysia) yang turut hadir dalam program ini pula mengatakan bahawa belia harus meningkatkan keupayaan diri dan lebih berdaya saing untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan, menurutnya:

Kita perlu meningkatkan keupayaan diri dan memberikan pengiktirafan kepada orang kurang upaya (OKU) yang mampu meningkatkan pencapaian diri. Selain itu, setiap belia, khususnya belia OKU juga harus berdaya saing agar dapat bersama-sama menyumbang kepada pembangunan negara.

Puan Mia Yusri (kanan) bersama-sama rakan mengenakan pakaian yang diperbuat daripada kayu teram.

Puan Mia Yusri, Majlis Belia Orang Asli (MBOA), yang berasal dari Pahang, merupakan orang asli dari suku kaum Jahut pula mengatakan bahawa beliau memainkan peranan besar dalam komuniti belia orang asli, menurutnya:

Kami menjadi penghubung kepada golongan tua di tempat kami. Dengan kemodenan dunia pada hari ini, kami telah didedahkan dengan pelbagai inisiatif dan kemudahan seperti pendidikan, sosial dan ekonomi.

Menurutnya lagi, melalui pendidikan, kami mendapat kesedaran tentang penjagaan kesihatan yang bersesuaian dengan cara hidup orang asli. Manakala melalui inisiatif ekonomi pula, kami dapat membantu komuniti di kampung orang asli untuk memajukan pertanian dan perniagaan kecil untuk diinovasikan dan dipasarkan di pasaran luar.

Menariknya, Mia Yusri mengenakan pakaian yang diperbuat daripada kulit kayu teram yang terdapat di kampungnya. Menurut Mia Yusri, kulit kayu teram tersebut telah diketuk sehingga nipis dan diinovasikan oleh Mia untuk dipakai pada hari ini. Inisiatif yang dilakukan oleh Mia dalam mempromosikan budaya setempat harus dicontohi oleh belia yang lain.

Turut hadir sama dalam program ini ialah YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha KBS; YBrs. Tuan Mohd Azhari Mohammad, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara; Encik Mahummar Gadaffi Sorilaut Omar, Ketua Pegawai Korporat, IIM; dan Encik Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, Presiden MBM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.