15 Mei 2024, 19:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohd Farid Janudin

Kuantan – Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek menyifatkan jasa dan pengorbanan guru tidak ternilai harganya kerana peranan mereka yang begitu besar dalam usaha mendidik dari “sekecil-kecil” manusia hingga mereka meningkat dewasa.

Malah, tegas beliau, seperti hari kebesaran lain yang disambut oleh masyarakat dunia, iaitu Hari Raya, Hari Ibu atau hari lahir masing-masing, sambutan Hari Guru yang diadakan pada 16 Mei setiap tahun boleh diumpamakan seperti Hari Raya berikutan peranan besar yang disumbangkan oleh warga pendidik di seluruh negara.

Mengulas tentang hari guru yang diumpamakan seperti Hari Raya, kata YB Fadhlina,

Setiap daripada kita mempunyai kenangan tersendiri bersama-sama guru masing-masing. Anak saya yang kecil pernah menangis apabila saya sampaikan tentang fungsi dan peranan Hari Guru kerana dia berasakan dirinya pernah tidak mendengar kata daripada gurunya sebelum ini.

Menurut YB Fadhlina, melihat akan peranan hari guru yang begitu besar impaknya, beliau berkata bahawa masyarakat kini berada dalam era pascanormal, iaitu sedang meniti sebuah peredaran zaman yang menuntut golongan pendidik untuk lebih kreatif, inovatif dan bertindak pantas dalam menempuh apa-apa jua keadaan.

“Teknologi terkini terutamanya dalam aspek digital telah memberikan impak yang besar terhadap dunia pendidikan negara,” tegas YB Fadhlina Sidek. Luah beliau, peranan yang ditonjolkan oleh para guru dalam pelbagai bidang tugas tidak hanya merangkumi tugas hakiki semata-mata, malahan diiktiraf sebagai kejora, iaitu bintang tertinggi di langit pendidikan.

“Melihat kepada senarai pemenang anugerah dalam pelbagai kategori pada hari ini, saya amat berbangga kerana andalah “kejora” dan “kartika” di langit pendidikan negara,” demikian ujar YB Fadhlina yang turut mengundang tepukan gemuruh daripada para hadirin.

Penerima Anugerah Khas Menteri Pendidikan, iaitu satu daripada kategori yang disifatkan berjaya memartabatkan profesion keguruan di negara ini.

Bagi beliau, rempuhan teknologi terkini memberikan inspirasi kepada para guru untuk menjadi juara digital dalam kalangan masyarakat. Nilai fleksibiliti yang ada dalam diri seorang guru menjadikan mereka begitu versatil kerana mampu mendepani pelbagai cabaran yang dilontarkan kepada mereka.

“Saya mengisytiharkan bahawa guru merupakan sumber inspirasi besar kepada masyarakat secara keseluruhan,” jelas YB Fadhlina ketika hadir sebagai tetamu kehormat untuk menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada para guru yang diiktiraf sebagai pemenang dalam pelbagai kategori, sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan tahun 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC), Kuantan, Pahang, selama tiga hari bermula pada 14 Mei (semalam).

Sidang media yang diadakan sejurus selepas penyampaian anugerah kepada para pemenang.

Antara tetamu kenamaan yang turut mengiringi Menteri Pendidikan semasa majlis penyampaian anugerah ialah Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh; Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Tuan Haji Azman Haji Adnan; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Encik Amzan Abd. Malek; pegawai kanan KPM serta Ketua Pegawai Eksekutif Bank Simpanan Nasional (BSN) yang menyaksikan BSN sebagai penaja rasmi hadiah kepada para pemenang anugerah.

Majlis Anugerah Hari Guru 2024 dianjurkan bertujuan untuk mengiktiraf jasa dan pengorbanan guru yang tidak pernah jemu dalam usaha memberikan pendidikan yang terbaik kepada anak didik.

Sambutan Hari Guru Ke-53 pada tahun ini yang bertema “Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara MADANI” bakal dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi esok di lokasi yang sama.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.