16 Mei 2024, 16:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohd. Farid Janudin

KPM meraikan jasa dan pengorbanan warga pendidik dalam Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 kali ke-53 di SASICC, hari ini.

Kuantan – Tarikh 16 Mei setiap tahun dipilih sebagai hari pengiktirafan dalam memperingati dan menghargai jasa, keringat dan pengorbanan warga pendidik, khususnya insan yang bergelar guru.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengadakan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 kali ke-53 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC), Kuantan, Pahang, hari ini.

Bertemakan “Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara MADANI”, Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek memaklumkan bahawa tema tersebut diangkat bagi menyokong satu daripada tujuh Teras Nadi Keunggulan KPM, iaitu peningkatan keupayaan pendidikan digital di sekolah tatkala masyarakat mendepani cabaran dunia digital.

YB Fadhlina Sidek merakamkan ucapan penghargaan kepada guru-guru di seluruh negara atas khidmat bakti mereka bersempena dengan Sambutan Hari Guru 2024.

Dalam ucapan alu-aluan pada pagi tadi, beliau berkata,

Pengetahuan digital merupakan kunci yang perlu dikuasai oleh para pendidik untuk membuka pintu kepada pendidikan yang berkualiti untuk anak-anak, selaras dengan aspirasi Dasar Pendidikan Digital.

Generasi fasih digital, angkatan baharu yang ampuh.

Tegas beliau,

Guru jauhari digital yang sedar akan peranannya sebagai pendidik insani bertanggungjawab mengintegrasikan teknologi secara efektif dalam proses pendidikan, di samping memastikan murid-murid mahir dan beretika menggunakan peranti digital bagi memenuhi keperluan generasi Alfa, selaras dengan hasrat reformasi pendidikan negara yang sedang diusahakan bersama.

“Hasrat untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan guru ke tahap jauhari digital juga menjadi sebahagian daripada aspirasi negara MADANI yang kita sasarkan.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di SASICC, hari ini.

Majlis perasmian yang diadakan secara gilang-gemilang tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan disaksikan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek; Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh dan barisan pegawai kanan KPM serta Exco Kerajaan Negeri Pahang.

Pada masa yang sama, beliau turut memaklumkan bahawa Majlis Anugerah Hari Guru 2024 itu bertujuan untuk mengiktiraf jasa dan pengorbanan guru yang tidak pernah jemu serta berkira dalam memberikan pendidikan yang terbaik kepada anak didik.

Ujarnya,

Guru dan pendidik ibarat ‘hujung mata tombak’.

“Dialah yang paling tajam – mampu menusukkan ilmu, adab dan kesedaran ke dalam akal dan jiwa setiap anak-anak kita.

“Dialah juga yang sentiasa di atas – menjunjung prinsip dan ikrar sumpah perjuangan keguruan.

“Dia juga yang sentiasa bersedia – menangkis dan menepis saat anasir jahat datang mengganggu.

Lafaz ikrar Hari Guru diketuai oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Tuan Haji Azman Haji Adnan.

KPM berharap agar pengiktirafan yang diberikan tersebut dapat memberikan suntikan, malah semangat baharu kepada semua warga pendidik untuk melahirkan lebih banyak ilmuwan yang mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Menurut KPM, program kali ini menampilkan sebanyak 31 anugerah yang melibatkan hadiah wang tunai daripada pelbagai penaja, antaranya termasuklah Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO), Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan Malaysia Airlines (MAS).

Majlis tersebut telah menyaksikan dua buah penyampaian anugerah utama, iaitu Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2024 dan Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2024 yang disampaikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri.

Di samping itu, sebanyak 93 orang guru cemerlang telah dipilih untuk menerima anugerah lain, seperti Anugerah Khas Pendidikan, Anugerah Guru Inovatif, Anugerah Guru Berwibawa dan Anugerah Guru Ikon.

Mengakhiri ucapan, beliau menasihati warga pendidik agar meletakkan pendidikan sebagai esensi utama dalam diri manusia melalui kasih sayang dan cinta, yakni satu proses memanusiakan manusia.

Pendidikan bukan sekadar mengasah akal fikiran semata-mata, tetapi juga mengasah akal budi manusia.

“Terima kasih cikgu, selamat Hari Guru!

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.