Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJurufoto: Mohd Farid Jainudin
Kuantan – Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberikan jaminan untuk meningkatkan lagi jumlah peruntukan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada masa akan datang, walaupun sebelum ini KPM merupakan antara kementerian yang menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2024.
Hasrat itu diumumkan dalam Majlis Pelancaran Hari Guru 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC), Kuantan pada pagi tadi berikutan keperluan dalam bidang pendidikan negara yang sentiasa meningkat seiring dengan peredaran zaman.
Keutamaan itu akan disampaikan kepada Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada minggu hadapan selepas beliau pulang dari lawatan ke luar negara.
“Saya akan membantu Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek dan akan membisikkan hasrat ini kepada Perdana Menteri supaya KPM diberikan peruntukan yang lebih tinggi walaupun peruntukan sedia ada sebanyak RM58 bilion merupakan peruntukan tertinggi dalam sejarah pedidikan negara,” ujar YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau turut mengulas bahawa peruntukan sebanyak 58 bilion dalam sektor pendidikan pada tahun ini pastinya dapat memanfaatkan perkara yang diperlukan di sekolah dan Pusat Pengajian Teknik dan Vokasional (TVET) di seluruh negara.
Tambah beliau, kejayaan dalam bidang pendidikan selama ini tidak hanya bergantung pada budaya kerja berkualiti semata-mata, namun turut mendapat kesepakatan dan sumbangan daripada kalangan guru, ibu bapa dan masyarakat secara keseluruhan.
“Kini kita berada dalam era Revolusi Perindustrian 4.0 yang membawa anjakan besar dalam teknologi pendidikan. Hal ini turut menjadi keutamaan kita untuk melonjakkan lagi bidang TVET di negara ini yang tidak lagi dianggap sebagai pendidikan kelas kedua,” demikian jelas YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya juga berazam supaya lulusan TVET ini mendapat pegiktirafan yang sewajarnya dalam bidang kerjaya kelak. Pendidikan TVET akan digubal dan seharusnya dimulai seawal umur 15 tahun. Hal ini merupakan titik tolak permulaan yang sewajarnya.”
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri turut menyentuh tentang tekanan yang dihadapi oleh para guru dalam usaha memberikan yang terbaik kepada murid dan pelajar dan hal ini tidak dapat dielakkan dalam dunia pendidikan sejak dahulu lagi. Hal tersebut benar-benar memerlukan kudrat yang kental dan jasa guru tidak wajar dilupakan oleh murid dan pelajar.
“Aspirasi negara MADANI yang kita idam-idamkan turut memerlukan pelibatan masyarakat yang progresif bagi membentuk generasi yang berdaya saing dan harmoni. Marilah kita bersama-sama termasuklah para pelajar, ibu bapa dan masyarakat bagi mengaspirasikan negara MADANI terutamanya dalam bidang pendidikan,” tambah beliau lagi.