Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJurufoto: Mohd. Farid Janudin
Kuantan – “Jawatan dan tugasan bukanlah satu bebanan, melainkan satu pengalaman untuk kita menjadi cekap dan relevan di mana-mana sahaja keberadaan kita dalam lapangan pendidikan,” nasihat Tokoh Guru Kebangsaan 2024, Puan Hajah Masariah Mispari (K.M.N) kepada pelapis guru baharu di luar sana.
Mantan Guru Cemerlang Jusa C itu mengatakan bahawa anugerah yang diterima itu bukan miliknya semata-mata, melainkan sebuah penghargaan kepada rakan guru yang lain yang turut bersama-sama berkorban masa dan tenaga demi mendidik anak bangsa.
Ibu kepada dua orang anak itu juga berkata bahawa anugerah berkenaan merupakan sebuah pengiktirafan yang beliau syukuri sepanjang bergelar guru selepas meninggalkan dunia pendidikan pada 1 Februari 2019 akibat kanser payudara.
“Syukur alhamdulillah, mungkin anugerah ini bukanlah idaman kepada semua orang. Akan tetapi, apabila saya diangkat sebagai Tokoh Guru Kebangsaan, saya amat bersyukur dan menganggap penganugerahan ini bukan untuk saya sahaja, tetapi juga milik guru-guru di luar sana,” katanya ketika diwawancara oleh wartawan Dewan Masyarakat selepas Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru 2024 Peringkat Kebangsaan Ke-53 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC), hari ini.
Sebanyak dua orang penerima telah menerima anugerah penghargaan utama yang telah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, tema hari guru pada tahun ini adalah selari dan bersesuaian dengan senario masa ini dalam usaha melahirkan murid fasih digital yang berdaya saing.
Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara MADANI” merupakan satu daripada tujuh Teras Nadi Keunggulan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini bagi memastikan murid dapat menghadapi cabaran dunia digital dengan lebih baik melalui peningkatan keupayaan digital di sekolah.
Puan Masariah menerima wang tunai bernilai RM50, 000 dan loket emas sumbangan Bank Simpanan Nasional, dua tiket penerbangan ke luar negara sumbangan Malaysia Airlines Berhad, plak iringan dan sijil penghargaan.
Sementara itu, penerima anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2024, YBhg. Dato Sulaiman Wak, 65, berkata bahawa beliau bersyukur bagi pihak rakan guru yang lain, kerana bagi beliau kecemerlangannya bertitik tolak daripada sokongan dan bantuan mereka.
“Niat dalam melakukan pekerjaan itu perlu tepat. Demi melahirkan generasi baharu yang mampu beradaptasi dengan dunia IT dan digital, ketekalan dan keteguhan hati merupakan nilai utama sebagai pendidik masa kini,” katanya yang telah berkhidmat selama 36 tahun dalam dunia pendidikan sebelum bersara pada tahun 2018 sebagai Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Pembangunan Profesionalisme Keguruan).
YBhg. Dato Sulaiman Wak menerima wang tunai bernilai RM50,000 dan loket emas bernilai RM15,000 sumbangan Bank Simpanan Nasional, dua tiket penerbangan ke luar negara sumbangan Malaysia Airlines Berhad, plak iringan dan sijil penghargaan.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, YB Wong Kah Woh dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Tuan Haji Azman Haji Adnan.