16 Mei 2024, 17:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohd. Farid Janudin

“Enam inisiatif ini ditawarkan bagi melonjakkan kapasiti keupayaan guru, selaras dengan temanya, Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara MADANI” – Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek.

Kuantan – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan enam inisiatif kepada lebih 400 000 orang guru di Malaysia bagi memperkasakan usaha dari aspek kebajikan golongan pendidik di negara ini.

Menurut Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, inisiatif itu merupakan satu daripada usaha KPM untuk memberikan suntikan dan semangat baharu kepada warga pendidik, sekali gus dianggap sebagai hadiah bersempena dengan Sambutan Hari Guru Ke-53 pada tahun ini.

Antara inisiatif tersebut termasuklah Kursus Pemerkasaan Teknologi, Kursus Apple Teacher, Sijil Profesional Digital, Geran Penerbitan, Program Cuti-cuti Cikgu dan Indeks Kesejahteraan Guru.

Selaras dengan tema Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara MADANI, beliau berkata,

Kursus pemerkasaan teknologi kecerdasan buatan (AI) akan diadakan dengan menyasarkan 500 orang guru terpilih dari seluruh negara agar dapat meningkatkan tahap pengetahuan dalam menyokong pelaksanaan PdP.

Beliau memaklumkan bahawa pelibatan guru dalam kursus berkenaan akan mendapat sijil pengiktirafan khusus, iaitu AI Educator daripada PIXLR.

Seterusnya, beliau mengatakan bahawa pelaksanaan Kursus Apple Teacher dengan kerjasama Apple Profesional Learning Specialist Malaysia turut dilakukan bagi melatih dan membimbing 100 000 orang guru yang diiktiraf sebagai Apple Teacher.

Ujar beliau,

Dalam konteks memberikan pengiktirafan kepada guru-guru yang melonjakkan usaha beradaptasi dengan teknologi digital semasa, sebanyak 1000 orang guru terpilih akan menghadiri kursus dan menerima sijil profesional digital serta diiktiraf sebagai Guru Jauhari Digital KPM.

Selain itu, KPM menawarkan dua geran penerbitan bernilai RM10,000 kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang memenuhi kriteria seperti yang ditetapkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Geran akan dianugerahkan untuk menerbitkan penulisan berkenaan ‘Tokoh Guru MADANI’ dan ‘Tokoh Kepimpinan MADANI’.

Bagi menghargai jasa dan pengorbanan guru, KPM turut memberikan inisiatif dengan menambah baik Program Cuti-cuti Cikgu dan kebajikan guru melalui Indeks Kesejahteraan Guru.

Indeks Kesejahteraan Guru ini kita akan bangunkan melihat kepada domain-domain tertentu dan memberikan tumpuan kepada bagaimana kesejahteraan guru dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Jadi hal ini termasuklah kehidupan guru, kesejahteraan guru, melihat kepada kesihatan, termasuklah perkara yang diperlukan oleh guru dan hak lain yang pastinya akan dilihat secara keseluruhan.

Demikianlah antara ucapan alu-aluan beliau dalam Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 Ke-53 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC), Kuantan, Pahang pada pagi tadi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.