Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPadang Besar – Pemangku Raja Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar semua pihak memberikan ruang seluas-luasnya kepada para guru untuk terus berkarya dan berkreativiti dalam menyampaikan pengajaran berkesan kepada para pelajar.
Dalam suasana pembelajaran kini yang mementingkan kepantasan dan ketepatan, para guru dituntut untuk mengelolakan sesi pengajaran mengikut kesesuaian pelajar.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli Khas anjuran Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersempena Sambutan Hari Guru 2024 di Inap Desa Bukit Chabang Guest House.
Mengiringi Baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor serta Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, Cikgu Saad Haroun bersama-sama dengan para pegawai dari JPN Perlis.
Dalam program berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan mendengar taklimat sembah maklum berkaitan pelaksanaan inisiatif Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) daripada Mohd Nazim. Menurut beliau, FCoEE merupakan sebuah pusat kecemerlangan pendidikan yang ditubuhkan oleh MAIPs bagi membantu sistem pendidikan di Perlis melalui program sokongan dan inisiatif konsisten.
Mohd Nazim dalam ucapannya turut meminta agar penubuhan FCoEE dimanfaatkan sepenuhnya bagi menjadi pemangkin kepada ekosistem pendidikan yang menyokong komuniti pendidikan Perlis dalam perubahan arus pendidikan perdana dan berteknologi.
“FCoEE adalah ibarat satu ‘hadiah’ dari MAIPs untuk komuniti dan ekosistem pendidikan di negeri Perlis tercinta”, tambah beliau.
Pada kesempatan itu, MAIPs merakamkan setinggi penghargaan kepada semua penyumbang zakat yang sentiasa bermurah hati menyalurkan sumbangan melalui MAIPs untuk diagihkan kepada pelbagai inisiatif MAIPs selama ini.
Terdahulu, DYTM Tuanku Raja Muda merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga orang asnaf yang terpilih pada edisi kali ini, iaitu Amirrudi Azizan, 51 tahun dan Khalit Mat, 72 tahun- kedua-duanya dari Kampung Bukit Chabang dan Husin Safie, 84 tahun dari Kampung Titi Tinggi Hilir.
Para asnaf masing-masing menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700, bantuan Kit MAIPs Peduli berserta beras fidyah.