18 Mei 2024, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sistem pendidikan merupakan asas terpenting dalam pembangunan sesebuah negara. Oleh itu, guru merupakan antara tulang belakang kepada penentuan hala tuju sistem pendidikan negara. Namun begitu, dari tahun ke tahun, sistem pendidikan negara menghadapi masalah kekurangan guru. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengambil pelbagai langkah untuk mengatasi masalah ini, antaranya termasuklah menambah bilangan guru. Baru-baru ini, KPM telah melantik sebanyak 6034 orang guru kontrak, namun isu ini bagaikan tiada kesudahan apabila kebanyakan guru yang sedang berkhidmat memilih untuk bersara awal. Malahan trend ini dilihat semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Guru merupakan individu yang dianggap mulia dalam kalangan masyarakat. Peranan guru mencakupi pelbagai aspek, malahan terdapat juga pelopor dan tokoh pejuang kemerdekaan yang terdiri daripada golongan pendidik. Namun begitu, kerjaya guru kini semakin hilang kredibilitinya. Masyarakat kini semakin kurang menghargai guru, terutamanya ketika negara berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Semasa PKP, sistem pendidikan negara berubah 100 peratus, guru terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut. Namun begitu, masyarakat dengan mudah mengeluarkan emosi negatif dan meletakkan semua bebanan ke atas guru, sedangkan semua pihak turut terjejas dan bergelut untuk menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut. Bertitik tolak dari situasi tersebut, semakin banyak guru yang mengambil langkah untuk bersara awal. Walaupun isu persaraan awal merupakan isu global melibatkan pelbagai bidang, termasuklah sektor awam dan swasta, namun trend tersebut jelas kelihatan dalam profesion keguruan.

Pada tahun 2021, isu persaraan awal para guru turut mendapat perhatian di Parlimen. Pada awal tahun ini juga, semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Pendidikan, YB Tuan Wong Kah Woh turut menjawab isu berkaitan dengan persaraan guru. Isu ini mendapat perhatian kerajaan kerana melibatkan kualiti sistem pendidikan negara dan pembentukan generasi pelapis pemimpin negara. Puan Nas Norzeila Nasbah dalam tulisannya bertajuk “Bebanan Tugas Guru, Bilakah akan Selesai?”, pada Jun 2022, menyatakan bahawa, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendakwa, hampir setiap tahun, sebanyak 10 000  orang guru membuat pilihan untuk bersara awal kerana bebanan tugas yang berlebihan.

Tugas yang berlebihan menyebabkan para guru mengalami stres dan tekanan.  Keadaan ini dibuktikan dengan kajian daripada Bahagian Psikologi dan Kaunseling, KPM yang mendapati sebanyak 4.4 peratus daripada 48 258 orang responden yang terdiri daripada guru mengalami stres tahap sederhana tinggi. Kajian penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) pula mendapati sebanyak 71.1 peratus guru di Kuala Lumpur dan di Selangor mengalami stres dengan guru wanita dua kali ganda lebih banyak berbanding dengan guru lelaki. Presiden NUTP, Encik Aminuddin Awang juga tidak menolak kemungkinan bahawa tekanan atau stres menyebabkan guru menghidap penyakit kronik. Apabila guru mengalami masalah kesihatan dan tidak mampu memberikan dedikasi sepenuhnya kepada pembelajaran, maka mereka memilih untuk bersara awal.

Keadaan ini juga disokong oleh dapatan “Kajian Tinjauan Faktor-kaktor Persaraan Awal Guru dan Kaitannya dengan Pembangunan Profesionalisme Keguruan” yang dijalankan oleh KPM pada tahun 2022. Masalah kesihatan merupakan antara faktor utama guru memilih untuk bersara awal. Antara faktor lain termasuklah kedudukan kewangan yang stabil, faedah persaraan, perubahan pelaksanaan dasar dan pendigitalan pendidikan. Walau bagaimanapun, sekiranya guru kurang dibebani dengan tugas lain selain daripada mengajar murid, mungkin jumlah guru yang memilih untuk bersara awal kurang, biarpun kedudukan kewangannya stabil. Faedah persaraan yang ditawarkan juga masih sama seperti dahulu namun trend guru bersara awal dilihat semakin meningkat, terutamanya selepas negara dilanda wabak, pandemik COVID-19.

Perubahan pelaksanaan dasar juga merupakan antara faktor yang menyebabkan guru memilih untuk bersara awal. Hal ini demikian kerana, Malaysia mengalami perubahan kerajaan dalam waktu yang singkat dan dasar juga turut berubah setiap kali berlakunya perubahan kerajaan. Menurut Encik Ahmad Mustakim Zulkifli dalam tulisannya “Kesan Dasar Pendidikan yang Sering Berubah”, dasar pendidikan yang kerap berubah mengikut pertukaran kepimpinan pada peringkat nasional dan kementerian menjadikan murid, ibu bapa dan guru mangsa kepada keadaan tersebut. Perubahan dasar pendidikan tersebut menyebabkan murid berisiko untuk ketinggalan dalam pendidikan berbanding dengan negara serantau. Selaku tulang belakang dalam sektor pendidkan, gurulah antara golongan yang paling terbeban dengan perubahan dasar tersebut.

Pendigitalan pendidikan yang menuntut para guru memahirkan diri dengan pelbagai kemahiran baru turut menyebabkan guru bersawa awal. PKP yang melanda negara turut mempercepat proses pendigitalan pendidikan di Malaysia. Menurut Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Guru-guru dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES), Encik Mohd Azizee Hasan, terdapat guru yang bersara awal menyatakan bahawa mereka sukar untuk mengadaptasi era digital. Keadaan ini menjadi tekanan dan bebanan kerja kepada mereka. Kebanyakan mereka yang terdiri daripada guru yang berusia perlu berusaha dengan lebih cepat untuk meningkatkan kemahiran digital mereka.

Berdasarkan beberapa faktor yang menyumbang kepada guru bersara awal, faktor tekanan dan stres akibat bebanan kerja yang tinggi sehingga menjejaskan kesihatan merupakan antara faktor paling tinggi dan utama guru memilih untuk bersara awal. Selain mengajar, guru dilambakkan dengan pelbagai tugas, antaranya termasuklah pengisian pelbagai data, menjadi warden, jurulatih sukan dan pengawas peperiksaan. Walau bagaimanapun, KPM dilihat cakna dengan situasi tersebut apabila buat pertama kalinya pada tahun lepas, membuka jawatan pengawas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada orang ramai yang berkelayakan. Walaupun masih ada guru yang perlu mengggalas tugas tersebut, namun sedikit sebanyak tindakan tersebut dapat membantu mengurangkan beban guru.

Namun begitu, bagi tugasan dan tanggungjawab lain seperti warden dan hal-hal perkeranian masih dalam proses mendapatkan penyelesaian yang sewajarnya. Cadangan mewujudkan jawatan pembantu guru seperti yang disuarakan oleh Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ybrs. Dr. Anuar Ahmad perlu dilihat secara serius oleh KPM dalam usaha untuk menjaga Kebajikan para guru di negara kita. Menurut beliau, usaha itu akan memberikan impak besar dalam kalangan guru terutamanya dalam meningkatkan keupayaan guru ketika proses pembelajaran di dalam bilik darjah selain negara akan melahirkan lebih banyak guru yang bahagia dan mewujudkan persekitaran yang ceria dalam kalangan murid.

Kerajaan melalui KPM perlu melihat dan mengkaji trend bersara awal dalam kalangan guru yang semakin meningkat dari tahun ke tahun. Dalam usaha untuk bergelar negara maju, sistem pendidikan negara perlu diberi tumpuan dalam usaha melahirkan generasi peneraju masa hadapan yang lebih berdaya saing. Pengalaman guru merupakan antara senjata penting dalam sistem pendidikan negara dan merupakan satu kerugian jika mereka bersara awal dari tahun perkhidmatannya. Semoga kebajikan guru di Malaysia lebih terbela dan trend bersara awal dalam kalangan guru dapat dikurangkan dalam usaha kerajaan untuk memantapkan sistem pendidikan negara. Selamat Hari Guru!

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.