21 Mei 2024, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Anak muda Kampung Bakau, Perlis, yang terkenal sebagai kawasan banjir pada setiap kali hujan, yang juga penerima tempat kedua Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) peringkat Perlis, Muhammad Saniy Samsudin, 25 tahun, ditawarkan pengajian peringkat Sarjana Kewangan di University of Warwick, Coventry, United Kingdom (UK) untuk sesi 2024/2025.

Muhammad Saniy yang merupakan Alumni Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kubang Pasu, yang juga penerima Anugerah Tokoh Siswa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2023 dan penerima Pingat Emas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) 2023, berharap agar hasratnya untuk menyambung pengajian akan tercapai melalui penajaan daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) atau Government Linked Company (GLC).

Muhammad Saniy menerima hadiah daripada DYMM Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalulail bersempena dengan sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri di Dataran Lok 9, Kuala Perlis.

Muhammad Saniy telah membuat permohonan kepada pihak MARA dan sedang menunggu maklum balas daripada pihak tersebut. Menurutnya, ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalulail bersempena dengan sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri di Dataran Lok 9, Kuala Perlis:

Saya teruja apabila ditawarkan pengajiann dalam MSc Finance di University of Warwick, Coventry, United Kingdom, untuk sesi 2024/2025 kerana universiti tersebut berada pada kedudukan keempat terbaik di UK dan ke-16 di dunia menurut kedudukan dalam Financial Times 2023.

Muhammad Saniy pernah menggalas tugas sebagai Felo Akademik di University of Texas, Amerika Syarikat, bersama-sama pemimpin belia dari Malaysia, Brunei, Myanmar, Kemboja, Indonesia, Laos, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. Mereka berkumpul untuk berbincang dan mengkaji tentang perkembangan, sejarah, cabaran dan kejayaan perusahaan dan pemimpin masyarakat di Amerika Syarikat serta pada peringkat global. Kejayaan anak muda ini bukan sahaja mengharumkan nama Perlis, malah nama Malaysia.

Hasrat anak muda ini untuk menyambung pengajian pada peringkat sarjana harus diberikan perhatian selaras dengan usaha kerajaan Malaysia MADANI yang ingin melahirkan generasi muda hebat pada masa hadapan.

Muhammad Saniy bersama-sama ahli keluarganya.

Anak ketiga daripada empat orang adik beradik, daripada pasangan suami isteri, iaitu Encik Samsudin Oli Mohamed, 59 tahun dan Puan Roziana Saad, 57 tahun, pastinya menjadi anak kebanggaan buat keluarganya.

Muhammad Saniy pernah berhenti daripada pengajian Diploma Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada tahun 2017 kerana menjaga ibunya yang diserang penyakit angin ahmar, namun beliau telah menyambung pengajian di Tingkatan 6, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Nyiur, Jitra.

Pengorbanan yang dilakukan oleh beliau, akhirnya berbalas, apabila beliau memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sekali gus menjadikan beliau pelajar terbaik peringkat negeri Kedah pada tahun 2018.

Beliau juga pernah ditawarkan untuk menyambung pengajian pada peringkat ijazah sarjana muda di Australia, namun disebabkan oleh masalah kewangan, beliau telah memilih untuk melanjutkan pengajian di bawah Biasiswa Naib Canselor Universiti Utara Malaysia.

Muhammad Saniy tidak menoleh ke belakang lagi, beliau terus mempamerkan bakat kepemimpinan dan kecemerlangan dalam bidang akademik.

Walaupun berhadapan dengan pemilihan yang sengit untuk layak sebagai calon YSEALI, namun beliau berjaya terpilih selepas melalui saringan yang ketat.

Antara kejayaan yang membolehkan Muhammad Saniy dinobatkan sebagai pemenang termasuklah, pelibatan aktif dalam kerja sukarela pada peringkat sekolah menengah, universiti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Persatuan, Kelab dan Alumni sekolah, serta pernah dilantik sebagai mutawif muda untuk mengiringi jemaah umrah.

Menurutnya lagi:

Saya tersentuh apabila melihat kesusahan masyarakat yang terpaksa membeli makanan di gerai tepi jalan dan warga emas yang terpaksa menjual kuih untuk mengumpul duit bagi membiayai pembedahan kelopak matanya. Alhamdulilah dengan usaha dan bantuan daripada orang ramai, wang sebanyak RM5,600 berjaya dikumpulkan, dan pembedahan mata warga emas tersebut dapat dilakukan.

Selain itu, sebagai alumni sekolah, beliau juga terlibat dengan pembinaan semula surau asrama dan kemudahan bilik air.

Bagi menyuntik semangat murid untuk mencapai kejayaan dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), beliau telah melancarkan kempen jom capai 6A kepada murid sekolah Simpang Ampat Perlis, dengan menawarkan hadiah tiket penerbangan, penginapan dan melancong ke Kuala Lumpur.

Bukan sahaja pada peringkat negeri atau negara, malah melalui perbincangan dengan rakan NGO, Muhammad Saniy telah melancarkan kempen memberi nasi kepada pekerja yang hilang pendapatan akibat COVID-19 di Mekah dan Madinah.

Bukan itu sahaja, pembentang kertas kerja terbaik IMF ini turut memberi bimbingan kepada pelajar dan lepasan sekolah agar memilih institusi yang tepat untuk melanjutkan pengajian. Beliau menggalakkan pelajar untuk penyambung pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) atau di Institusi Latihan kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS).

Menurut Muhammad Saniy:

Kadangkala setakat penceritaan dan perkongsian idea sahaja tidak menunjukkan kesungguhan. Oleh itu, saya turut berkongsi dengan rakan belia untuk terlibat sama dengan program pada peringkat asia dan dunia.

Penyertaannya bersama-sama 65 orang belia dalam Persidangan secara dalam talian bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Model United Nation (MUN) peringkat Dunia, YSEALI (Young Southeast Asian Leaders Initiative) di bawah Kedutaan Amerika Syarikat sebagai Felo Akademik di University Texas of Austin, Pertandingan Perniagaan di Indonesia, turut membanggakan belia Perlis dan Malaysia.

 

Beliau turut menjadi anak kampung kebanggaan keluarga kerana berjaya menjelajah hingga ke Amerika Syarikat dan mengukir nama di persada antarabangsa.

Pengiktirafan lain yang diterima oleh beliau termasuklah sebagai Pemimpin Kolej Kediaman Terbaik IPT; Tokoh Siswa Kebangsaan; Tokoh kesukarelawanan Majlis Perumahan Universiti Awam (MAPUM); IKON Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM); Pembentang Kertas Kerja Terbaik bertajuk Krisis Ekonomi Global; Kesan Wabak COVID-19 di Persidangan dalam talian di Asia World Model United Nations Virtual Conference MMXXI; dan Persidangan dalam talian di Axiata Foundation University Leadership Development Programme (ULDP).  Keadaan ini membuktikan bahawa belia Perlis turut mampu mengharumkan nama negara.

Muhammad Saniy juga terpilih mewakili Malaysia dalam program ASEAN International Mobility for Students Program (AIMS Program) dan dipilih sebagai pembentang kertas kerja terbaik 3rd ASEAN Youth Initiative Empowerment Program (AYIEP) 2021.

Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya, berdasarkan pakej dan peluang yang diketengahkan oleh Jabatan Belia dan Sukan (JBS) melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS), pasti dapat melahirkan belia MADANI yang mampu mencorakkan masa hadapan negara yang lebih baik.

Antara penerima Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) peringkat negeri Perlis.

Hari Belia Negara peringkat negeri yang diadakan pada 18 Mei dan 19 Mei 2024  turut mengadakan beberapa aktiviti lain antaranya termasuklah program rakan bumi, jualan agromadani, pameran agensi kerajaan dan swasta serta beberapa pertandingan yang lain.

Selain itu, turut diadakan pertandingan sukan elektronik, perkhidmatan gunting rambut percuma dan forum keusahawanan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.