25 Mei 2024, 16:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – “Semua rakyat harus hidup berperaturan dan menyantuni orang lain.” Berikut titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sewaktu berkenan berangkat merasmikan pelancaran Majlis Malam Citra Warna Kuala Perlis dan Majlis Perasmian Festival Rakyat bersempena dengan Ulang Tahun Keputeraan Ke-81 Tuanku Raja Perlis di Dataran Lok 9, Kuala Perlis.

Persembahan menyambut ketibaan DYMM Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Turut berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Anakanda Bongsu Baginda berdua, Yang Amat Mulia (YAM) Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Majlis tersebut telah dianjurkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Encik Abu Bakar Hamzah dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) dan Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Perlis serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis.

Turut hadir sama, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Anakanda Bongsu Baginda berdua, Yang Amat Mulia (YAM) Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Dalam titah DYMM Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin menyeru agar semua pihak perlu melipatgandakan usaha dalam memainkan peranan bagi memastikan kebersihan di sekitar Kuala Perlis sentiasa berada pada tahap yang terbaik, khususnya di tempat awam antaranya termasuklah jeti, stesen bas dan teksi, tandas masjid, kawasan pelancongan, premis perniagaan terutamanya restoran dan gerai.

DYMM Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin turut bertitah, pengusaha makanan, penghasilan kraftangan dan produk nelayan di Kuala Perlis perlu mengambil pendekatan yang lebih kreatif dan inovatif dalam mempelbagaikan pengeluaran masing-masing sebagai buah tangan pelancong dan kenangan manis untuk dibawa pulang.

Titah DYMM Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin:

Penyelenggaraan dan menaik taraf infrastruktur tempat meletak kereta merupakan elemen yang sangat penting. Semua yang ada di sini mestilah selamat, berstruktur dan ceria. Para pengusaha dimohon untuk mengikut peraturan dan melaburkan sedikit modal untuk bersaing bagi mencantikkan kawasan masing-masing.

Sementara itu, Encik Abu Bakar mengucapkan rasa syukur kerana satu daripada program yang dirancang untuk menjayakan Eyes of Kuala Perlis dan membantu mempromosikan Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 telah berjaya direalisasikan.

Tambah Encik Abu Bakar lagi:

Pelbagai aktiviti dan acara telah disusun dengan baik bermula pada 24 Mei 2024 hingga 2 Jun 2024 bagi menjayakan Festival Rakyat yang dijangka mendapat tumpuan masyarakat setempat dan juga pengunjung dari luar kerana cuti penggal persekolahan.

Majlis tersebut turut diserikan dengan pelbagai persembahan tarian dan nyanyian, perarakan kanak-kanak dan kontinjen Melayu berbusana, serta perarakan kereta berhias melibatkan 21 kontinjen daripada agensi kerajaan, swasta, badan berkanun dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Persembahan perarakan kereta berhias daripada agensi kerajaan, swasta, badan berkanun dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

DYMM Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin turut menzahirkan pesanan agar, selain hidup berperaturan, setiap individu perlu memberikan layanan yang mesra, bertutur dengan nada dan bahasa yang sopan serta menyantuni para pelancong terutama sekali sepanjang kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 berlangsung.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.