28 Mei 2024, 17:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Khairul Azhar Baharudin

Kuala Lumpur – Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir hadir sebagai tetamu kehormat bagi melancarkan penerbitan 10 judul buku Siri Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang menempatkan pameran jualan buku dan pentas aktiviti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada hari ini.

YB Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir menyifatkan penerbitan siri 10 judul yang dilancarkan pada hari ini mampu mengangkat nilai intelektual masyarakat khususnya dalam bidang sosiolinguistik.

Siri Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu tersebut merangkumi 10 buku, iaitu Linguistik Am, Semantik, Sintaksis, Fonetik dan Fonologi Bahasa Melayu, Teori dan Kaedah Mengajar Bahasa Melayu, Perancangan Bahasa Melayu, Sosiolinguistik, Morfologi, Strategi Pengajaran Bahasa Melayu untuk Penutur Asing dan Bahasa Melayu Tinggi. Siri Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu ialah siri buku linguistik yang ditulis oleh pelbagai ahli akademik bidang bahasa, antaranya termasuklah YBrs. Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan.

10 judul buku yang terpamer di sebuah rak khas.

Siri ini diterbitkan sebagai panduan dan pedoman bagi pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu yang dikarang khusus bagi memenuhi keperluan para pensyarah, guru dan pelajar pada masa ini, selain disifatkan mampu untuk menambah ilmu bahasa Melayu secara mudah dan terancang.

Dalam majlis tersebut, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd kadir menyifatkan siri buku berkaitan dengan bahasa yang dilancarkan pada hari ini mampu memandaikan anak bangsa khususnya rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Buku ini bakal menjadi rujukan penting yang mampu memandaikan anak bangsa. Pada hari ini saya belajar perkataan baharu, yakni perkataan ‘memandaikan anak bangsa’ yang begitu cantik bahasanya,” demikian jelas Menteri Pengajian Tinggi dalam ucapan perasmiannya.

Menurut YB Dato’ Seri Diraja Dr. Mohd Zambry, antara agenda negara yang sangat penting termasuklah apabila negara dapat melakukan sesuatu yang mampu mengangkat minda masyarakat agar sama-sama dapat melonjakkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. “Mahu tidak mahu, bahasa Melayu perlu dianggap sebagai bahasa ilmu biarpun ada yang mengatakan bahasa Melayu merupakan bahasa yang mudah dari segi pertuturannya,” tegas beliau.

Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hasan, tokoh bahasa yang turut hadir memeriahkan majlis pelancaran pada hari ini.

Majlis pelancaran pada hari ini turut merakamkan detik bersejarah apabila penulis dan penyusun buku tersebut, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan turut serta hadir memeriahkan acara. Dalam majlis tersebut, wakil panel penulis siri buku tersebut, YBrs. Prof. Madya Dr. Indirawati Zahid, Timbalan Dekan, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, turut menyampaikan ucapan penghargaan di sebalik kejayaan penghasilan Siri Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu yang dilancarkan pada hari ini.

Mengakhiri ucapan beliau, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir tidak menafikan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa yang mudah dari segi pertuturannya, namun perkara ini tidak boleh dianggap remeh. “Bagi saya, biarpun dikatakan sebagai bahasa yang mudah, namun tidak bermakna bahasa tersebut tidak mempunyai struktur yang tidak baik kerana sesuatu bahasa itu perlu berstruktur dan jelas kerana setiap kajian bahasa perlu ada strukturnya,” demikian jelas beliau.

Barisan tetamu kehormat yang hadir dalam majlis pelancaran pada hari ini.

Majlis pelancaran ini turut dihadiri oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari;  Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Governan dan Pembangunan), Encik Ahmad Rizal bin Adnan; Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa; Ketua Editor Bahagian Buku Bahasa, Yang Mulia Tengku Fauziah Ku Mat; panel penulis Siri Buku Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu serta pelajar dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.