Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJurufoto: Khairul Azhar
Kuala Lumpur – Setelah enam hari penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024, bilangan orang awam yang menghadiri acara tahunan ini adalah sebanyak 1 075 766 orang pengunjung.
Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 19 peratus berbanding dengan kehadiran pengunjung pada enam hari pertama PBAKL tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2024, Encik Mohd Khair Ngadiron memaklumkan bahawa jumlah kehadiran pengunjung menunjukkan peningkatan secara mendadak pada hari pertama penganjuran PBAKL pada tahun ini.
“Pada hari pertama (Jumaat), jumlah pengunjung adalah sebanyak 140 192 orang berbanding dengan 73 620 orang – meningkat sebanyak 97 peratus.
“Pada hari Sabtu (25 Mei 2024), berlaku peningkatan sebanyak 21 peratus; dan pada hari Ahad (26 Mei 2024), sebanyak 0.01 peratus,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian PBAKL 2024 di Pentas Utama, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, petang tadi.
Encik Mohd Khair berkata, buat pertama kalinya setelah 40 tahun penganjuran PBAKL, pihak penganjur menyediakan sistem automasi pengiraan kehadiran pengunjung bagi memastikan ketepatan data.
“Hal ini signifikan kerana memberikan petunjuk kepada pihak penganjur dan semestinya kepada pempamer bagi merangka strategi pengurusan dan jualan yang lebih mantap pada masa hadapan,” jelasnya.
Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa PBAKL telah berjaya melahirkan masyarakat khususnya golongan anak muda yang suka membaca.
“Kami percaya, usaha ini tidak akan berjaya tanpa dukungan semua pihak,” ujarnya.
PBAKL kali ke-41 2024 diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sejak 24 Mei 2024 yang lalu dan akan berakhir pada 2 Jun 2024, bermula pada pukul 10.00 pagi hingga pukul 10.00 malam.
Pesta buku antarabangsa ini merupakan program Kementerian Pendidikan Malaysia anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Dewan Industri Buku Malaysia (MBIS) sebagai penganjur utama.
Sementara itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Perbadanan Kota Buku (PKB), Persatuan Pengeksport dan Pengimport Buku Malaysia (MBEIA), Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Persatuan Kontraktor Buku Malaysia (PKBM), Persatuan Penjual Buku Malaysia (MBA), Persatuan Penerbit dan Pengedar Buku Bumiputera Malaysia (PPPBBM) dan Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) bertindak sebagai rakan kerjasama.
PBAKL pada tahun ini melibatkan sebanyak 972 reruai, dengan 241 pempamer termasuklah 14 pempamer dari luar negara seperti Singapura, Thailand, Filipina, India, China, Taiwan dan Iran.
Bertemakan “Malaysia Membaca”, PBAKL 2024 turut menampilkan Sabah sebagai Negeri Tamu.
PBAKL pada kali ini juga diadakan secara hibrid, iaitu secara bersemuka dan dalam talian dalam usaha untuk memartabatkan buku sebagai sumber ilmu pengetahuan.