1 Jun 2024, 16:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohamad Adib Zulkifli

Kuala Lumpur – Dalam usaha mentafsirkan hasrat dan menjelaskan konsep MADANI dalam bahasa yang mudah difahami, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, Jabatan Penerbitan, DBP telah berjaya menerbitkan enam judul buku kanak-kanak yang menerapkan nilai MADANI.

Nilai MADANI seperti kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan telah diterjemahkan dalam buku Sayangi Alam Jiwa Tenang; Putera Puteri Perpaduan; Reka Cipta Mad dan Ani; Hormati yang Tua, Santuni yang Muda; Yakin Boleh Kejayaan Diraih dan Musuh Rahsia Bumi Kita.

“Penerapan nilai MADANI dalam setiap buku kanak-kanak yang akan dilancarkan pada hari ini adalah bertepatan dengan hasrat untuk menggunakan pendekatan yang menyeluruh serta proaktif bagi menyemai nilai positif dalam diri generasi muda,” kata Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-isteri Harapan Malaysia (KASIH Malaysia), Yang Berhormat (YB) Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail ketika merasmikan Majlis Pelancaran Buku Kanak-kanak Bertemakan MADANI di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pagi tadi.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-isteri Harapan Malaysia (KASIH Malaysia), YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail.

Menurut beliau, pendidikan seharusnya tertumpu kepada pembentukan kecemerlangan akademik dan keterpujian sahsiah yang merangkumi perkembangan ilmu, pembentukan karakter, pemurnian adab dan akhlak serta pengukuhan integriti setiap individu.

Kita mahu mendidik anak-anak supaya menjadi lebih kreatif, berdaya cipta, berani membuat perubahan, mempunyai sifat ihsan yang tinggi, bermaruah, amanah, bertanggungjawab dan mengutamakan keseimbangan antara duniawi dengan ukhrawi serta mementingkan keseimbangan alam dan keperluan pembangunan negara.

YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail (tiga dari kiri) ketika merasmikan Majlis Pelancaran Buku Kanak-kanak Bertemakan MADANI di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Beliau juga menyatakan bahawa penerbitan buku yang bertemakan MADANI merupakan satu daripada langkah penting untuk memastikan golongan muda memahami dan menerapkan nilai positif yang digagaskan oleh Malaysia MADANI.

Untuk merealisasikan hasrat ini, negara memerlukan semua pihak untuk memainkan peranan masing-masing dengan berkesan.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari berkata, satu daripada aspek penting untuk diberikan perhatian dalam membentuk masyarakat yang maju dari segi pemikiran, kerohanian, akhlak dan kebendaan ialah pendidikan.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari.

Dalam kerangka Kurikulum Persekolahan 2027 misalnya, Kementerian Pendidikan Malaysia menekankan konsep karamah insaniah sebagai tunjang termasuklah memberikan fokus kepada pendidikan karakter.

Konsep karamah insaniah menekankan pembentukan adab, akhlak dan integriti selain bermatlamat untuk melahirkan insan sejahtera yang mengamalkan kehidupan seimbang dalam segala aspek, sentiasa membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dan menghargai perpaduan, keharmonian serta menghormati kepelbagaian.

Tegas beliau, sekiranya konsep tersebut dihayati dengan sebaik-baiknya, pembentukan generasi MADANI pasti akan terlaksana.

Beliau juga berkesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail dan seluruh ahli jawatankuasa KASIH Malaysia atas usaha menganjurkan pelbagai program yang menggalakkan pembacaan dalam kalangan masyarakat.

Dalam majlis yang sama, turut diadakan penyerahan baucar buku DBP oleh YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail dan sumbangan buku DBP oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Mohd Anuar Rethwan kepada anak-anak asnaf.

Sesi penyerahan baucar buku DBP oleh YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail (tiga dari kiri) kepada anak asnaf.
Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dato’ Dr. Mohd Anuar Rethwan (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan buku DBP kepada anak asnaf.

Majlis tersebut turut diserikan dengan penampilan khas oleh adik Norshahidah Mohd Safuan dari Rumah Anak Yatim Baitul Kasih dan Baitul Fikrah, Rawang, Selangor yang berpeluang membacakan buku Hormati yang Tua, Santuni yang Muda karya YBrs. Dr. Husairi Hussin serta persembahan Mekar Sastera – Nyanyian Dondang Sayang Tradisional oleh Kumpulan Legasi Nyonya Tan.

Adik Norshahidah Mohd Safuan dari Rumah Anak Yatim Baitul Kasih dan Baitul Fikrah, Rawang, Selangor membacakan buku kanak-kanak bertemakan MADANI yang bertajuk Hormati yang Tua, Santuni yang Muda dalam majlis berkenaan sambil disaksikan oleh YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail.
YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah berkesempatan melawat reruai DBP yang menyediakan pelbagai produk penerbitan DBP.

Turut hadir memeriahkan majlis berkenaan ialah Setiausaha KASIH Malaysia, Puan Anne James Anak Perempuan Nepoans James; Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa; Pengarah-pengarah Jabatan; ketua-ketua editor; ketua-ketua bahagian; para karyawan; rakan media dan tetamu undangan lain.

Tetamu kehormat bersama-sama hadirin yang hadir memeriahkan Majlis Pelancaran Buku Kanak-kanak Bertemakan MADANI di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.