1 Jun 2024, 19:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohd Adib Zulkifli

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus komited dalam usaha membangunkan masyarakat MADANI menerusi penerbitan enam judul buku kanak-kanak yang menerapkan nilai MADANI, sekali gus membolehkan konsep MADANI dapat difahami dengan jelas menerusi kaedah penceritaan yang mudah dan ilustrasi yang menarik.

Lanjutan daripada itu, Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, DBP telah menganjurkan Bicara Kreatif Buku Kanak-kanak Bertemakan MADANI di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur yang menampilkan kesemua penulis buku tersebut untuk berkongsi pengalaman dan kekuatan yang terdapat dalam karya kreatif itu.

Sesi Bicara Kreatif Buku Kanak-kanak Bertemakan MADANI yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Menjawab persoalan sebab utama memilih untuk menulis buku kanak-kanak, Pensyarah, Bahagian Kesusasteraan dan Pengajian Jarak Jauh, YBrs. Dr. Husairi Hussin merangkap penulis buku Hormati yang Tua, Santuni yang Muda yang menerapkan nilai hormat dalam buku tersebut menyatakan bahawa selain minat dan bertanggungjawab untuk mendidik generasi muda membaca, hasil penulisan beliau itu juga merupakan terapi kepada minda yang penat bekerja seharian.

YBrs. Dr. Husairi Hussin, penulis buku Hormati yang Tua, Santuni yang Muda.

Berbeza pula dengan perkongsian oleh Editor Kanan, Bahagian Multimedia DBP, Encik Mohd Faizal Rus Rzerli yang mempunyai latar belakang sains telah mencurahkan segala ilmu yang dimilikinya dalam buku Reka Cipta Mad dan Ani yang menyelitkan nilai daya cipta untuk menarik perhatian kanak-kanak agar suka akan bidang sains dengan menggunakan laras bahasa yang sesuai dengan mereka.

Encik Mohd Faizal Rus Rzerli, penulis buku Reka Cipta Mad dan Ani.

Pengarah Pusat Kebudayaan dan Pensyarah Seni Lukis di Universiti Pendidikan Sultan Idris, YBrs. Dr. Norzuraina Mohd Nor yang banyak menulis buku kanak-kanak dan remaja pula sememangnya ingin menjadi perintis kepada generasi muda untuk menyalurkan pemikiran tentang perkara yang baik menerusi penulisan sehingga terhasilnya buku yang bertemakan nilai MADANI kemampanan, iaitu buku Sayangi Alam Jiwa Tenang.

YBrs. Dr. Norzuraina Mohd Nor, penulis buku Sayangi Alam Jiwa Tenang.

Seterusnya, apabila ditanya tentang kekuatan judul pada buku Yakin Boleh Kejayaan Diraih, Perancang Bahasa, Bahagian Perkamusan DBP, Puan Nor Azita Umar menyatakan bahawa kekuatan buku itu terletak pada jalan cerita dan nilai moral yang terdapat pada akhir cerita tersebut, iaitu nilai keyakinan yang perlu diterapkan dalam diri anak-anak kerana sifat tersebut mendorong mereka untuk mencapai kejayaan.

Puan Nor Azita Umar, penulis buku Yakin Boleh Kejayaan Diraih.

Menurut penulis buku Putera Puteri Perpaduan pula, iaitu Pensyarah Sains Sukan, Universiti Sains Malaysia (USM), YBrs. Dr. Garry Kuan dan Pegawai Perubatan, USM, YBrs. Dr. Tan Le Ting, buku yang dihasilkan oleh mereka menerapkan nilai kesejahteraan dan memfokuskan elemen perpaduan yang disampaikan dalam bentuk cerita yang mudah difahami oleh kanak-kanak.

YBrs. Dr. Garry Kuan (kiri) dan YBrs. Dr. Tan Le Ting (kanan), penulis buku Putera Puteri Perpaduan.

Pada sesi akhir bicara, Konsultan Pengurusan di Kuala Lumpur, Puan Umi Sawiyah Ahamad yang berjaya menghasilkan sebuah karya menarik dan mempunyai nilai ihsan, iaitu Musuh Rahsia Bumi Kita menekankan agar nilai murni sewajarnya ditanam dalam diri sejak kecil lagi dan buku yang dihasilkan itu merupakan suatu permulaan kelestarian dalam pembacaan.

Puan Umi Sawiyah Ahamad, penulis buku Musuh Rahsia Bumi Kita.

Keenam-enam buku bertemakan MADANI yang diterbitkan oleh DBP menerapkan nilai yang sesuai dengan adab ketimuran, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan, sekali gus membantu pelbagai pihak untuk membimbing kanak-kanak tentang kepentingan nilai murni dalam kehidupan dalam usaha melahirkan generasi yang memiliki ciri positif dalam diri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.