Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Seiring dengan inisiatif pemacuan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk mencapai kejayaan pada peringkat global, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan tiga institusi pendidikan TVET ternama di Jerman, Eropah, sewaktu lawatan kerja Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), TVET Termaju bersama-sama dengan delegasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ke Jerman.
Naib Canselor UTeM, YBhg. Prof. Datuk Ts Dr. Massila Kamalrudin, berkata “UTeM telah memeterai MoU bersama dengan University of Applied Sciences Kaiserslautern (HSKL), Aschaffenburg University of Applied Sciences (UAS) dan Kiel University of Applied Sciences (FH Kiel).” Menurut beliau lagi:
MoU antara UTeM dengan HSKL adalah untuk menyemarakkan aktiviti dan projek antarabangsa dengan memberikan lebih penekanan terhadap pengantarabangsaan pendidikan tinggi terutamanya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi elektronik dan komputer.
YBhg. Prof. Datuk Ts Dr. Massila Kamalrudin mewakili UTeM menandatangani MoU ini bersama-sama dengan Naib Presiden Pengantarabangsaan HSKL, YBrs. Prof. Dr.-Ing. Michael Magin dan disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Presiden HSKL, YBhg. Prof. Dr.-Ing. Hans-Joachim Schmidt.
UTeM turut memeterai MoU kedua pada hari yang sama bersama-sama dengan UAS, dan kerjasama ini memberikan penekanan dalam konteks mempromosi dan membangunkan penyelidikan, kerjasama teknikal dan pendidikan. UTeM diwakili oleh YBhg. Prof. Datuk Ts Dr. Massila Kamalrudin manakala UAS diwakili YBrs. Prof. Dr. Eva-Maria Beck-Meuth dan disaksikan oleh YB Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan Datuk Bandar Aschaffenburg, Encik Jürgen Herzing.
UTeM seterusnya menyempurnakan pemeteraian MoU ketiga dengan FH Kiel yang ditandatangani oleh YBhg. Prof. Datuk Ts Dr. Massila Kamalrudin bersama-sama dengan Presidennya, Ybrs. Prof. Dr. Björn Christensen. MoU ini memfokuskan pendidikan antarabangsa, penyelidikan dan aktiviti berkaitan seperti mobiliti pelajar terutamanya dalam bidang informatik, kejuruteraan elektrik dan kejuruteraan mekanikal. Delegasi turut memperkenalkan MTUN kepada FH Kiel di samping meneliti dan menanda aras pelaksanaan Work-Based Learning (WBL).
Turut menyertai delegasi UTeM ke Jerman ialah Pengarah Pusat Hubungan Strategik Korporat dan Global (UGlobe), YBrs. Prof. Madya Dr. Siti Hajar Sheikh Md Fadzullah dan Pensyarah Kanan, YBrs. Dr. Muhammad Zulfattah Zakaria. Sementara itu, MTUN dari Universiti Malaysia Pahang Al Sultan Abdullah (UMPSA) pula diwakili oleh Naib Canselor UMPSA YBhg. Dato’ Ts Dr. Yuserrie Zainuddin dan Penolong Naib Canselor Pengembangan Akademik, YBrs. Prof. Ts Dr. Kamal Yusoh.