8 Jun 2024, 14:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Hanafi Mohd Yusof

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat supaya memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di Malaysia dan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.

Hal ini dijelaskan oleh beliau dalam ucap utama pada majlis Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas 2023 pada Malam Wartawan Malaysia 2024 di Hotel Majestic, semalam.

Beliau berkata, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan mesti dipatuhi dan dilaksanakan secara berterusan.

“Saya beri arahan kepada Menteri Pendidikan (YB Fadhlina Sidek) dan kementeriannya untuk mempertahankan dasar bahasa Melayu dan pada masa yang sama keupayaan mutu penguasaan bahasa Inggeris ditingkatkan.”

Beliau juga memetik karya penulis Jepun, Toshiko Izutsu, iaitu God and Man in the Quran, iaitu setiap pelaku (manusia) harus menguasai pelbagai bahasa yang wujud.

“Melalui bahasa, akan muncul empati terhadap masalah yang dihadapi oleh setiap kaum dan agama,” ujar beliau dalam ucapannya.

Selain itu, beliau memberikan jaminan bahawa kerajaan sentiasa membuka ruang kebebasan kepada media, namun kebebasan ini tidak boleh digunakan untuk memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian negara.

“Saya beri jaminan media bebas bersuara tetapi tindakan tegas akan kita tangani jika terkait dengan memupuk semangat pelampau dalam semua bab sehingga mencetuskan perkauman dan ketegangan dalam negara.”

Terdahulu, HKM kali ini telah menobatkan wartawan sasterawan veteran, Adibah Amin sebagai Tokoh Wartawan Negara.

Adibah Amin atau nama sebenarnya Khalidah Adibah Amin yang kini berusia 88 tahun merupakan wartawan wanita pertama diberi pengiktirafan tertinggi dalam bidang kewartawanan pada peringkat nasional.

YBrs. Dr. Fadzilah Amin mewakili kakaknya, Adibah Amin menerima penghargaan daripada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Hotel Masjetic, semalam.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim kepada YBrs. Dr. Fadzilah Amin, adik perempuan kepada Adibah Amin kerana beliau tidak dapat hadir berikutan faktor kesihatan.

Adibah ialah anak kepada pejuang kemerdekaan YBhg. Tan Sri Zainon Sulaiman atau Ibu Zain yang terkenal dengan kehebatannya dalam bidang kewartawanan dan penulisan.

Dalam majlis yang sama, Vinothaa Selvatoray, Affan Amrish Mohd Jalani dan Ooi Choon Nam, wartawan dari Malaysiakini pula telah memenangi Anugerah Kajai buat julung kalinya menerusi tiga siri laporan mengenai kanak-kanak tanpa kerakyatan di Sabah yang diambil secara paksa daripada ibu bapa mereka untuk dijadikan sebagai anak angkat.

Pasukan wartawan Malaysiakini menerima Anugerah Kajai sempena HKM di Hotel Majestic, semalam.

Mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM30,000, berserta trofi dan sijil.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.