Oleh Rasoul Manan
8 Jun 2024, 17:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Perundingan Melayu (MPM) terus mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan sekali lagi menegaskan bahawa usaha pembangunan dan pemartabatan bahasa Melayu di Malaysia perlu terus diperkukuh.

Wakil MPM, Kamal Shukri Abdullah Sani mengingatkan bahawa bahasa Melayu sudah tercatat dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan sejak tahun 1957 dalam sidang media, di Bukit Ledang, hari ini.

Dalam sidang media tersebut, beliau menyatakan bahawa selaras dengan usaha mengukuhkan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang termasuklah sains dan teknologi, “Program Dual Language Programme (DLP) yang diperkenalkan sebelum ini merupakan warisan Pengajaran dan Pembelajaran Sains Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang wajar dihentikan segera dan MPM membantah keras sebarang usaha untuk melanjutkan lagi program DLP-PPSMI”.

“Jika diteruskan juga, maka akan semakin merosotlah bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini.”

Sebagai negara yang menjulang konsep Malaysia MADANI, wajarlah negara kita mencontohi bangsa yang berjiwa besar dalam usaha membangunkan negara mereka dengan bahasa sendiri.

“Negara seperti Jerman, Rusia, Turkiye, Britain, Amerika, Sepanyol, Korea, Jepun dan lain-lain mengutamakan bahasa rasmi dalam semua perkara.”

Beliau menyambung, “Jika bukan bangsa dan pemimpin di Malaysia sendiri yang gigih untuk tujuan ini, siapakah lagi yang hendak diharapkan?”

MPM turut merayu campur tangan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menurut mereka juga selaku pejuang bahasa kebangsaan tulen sejak era 70-an agar tidak tunduk kepada sebarang tekanan daripada mana-mana golongan yang masih terjajah mindanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Negara, YB Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan menjelaskan bahawa program DLP itu sendiri dianggap tidak selaras dengan Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan kerana membentuk jurang atau kesenjangan antara pelajar aliran DLP dengan pelajar aliran bukan DLP.

“Pendidikan sepatutnya mempunyai agenda pendemokrasian pendidikan yang menutup jurang antara pelajar berlainan aliran,” jelas beliau.

Sebelum itu, DLP telah diperkenalkan sejak tahun 2016 kepada beberapa sekolah perintis kebangsaan.

Program ini adalah sebahagian daripada inisiatif Kementerian Pendidikan di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

DLP merupakan kelahiran semula dasar PPSMI yang telah dimansuhkan pada tahun 2014 selepas menerima banyak bantahan daripada pelbagai pihak di negara ini.

Walau bagaimanapun, DLP berbeza daripada PPSMI yang memberikan kelonggaran kepada semua pihak yang terlibat, iaitu pelajar, ibu bapa, guru dan sekolah untuk memilih bahasa pengantar pilihan masing-masing.

Dalam erti kata lain, DLP diperkenalkan dengan memberikan pilihan secara sukarela kepada sekolah untuk melaksanakannya dan tidak seperti pelaksanaannya dahulu, iaitu PPSMI yang bersifat wajib.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.