Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Mantan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Musa Mohammad meninggal dunia pada malam tadi akibat kanser darah mieloma berbilang (multiple myeloma).
Berita pemergian allahyarham dikongsi oleh anak beliau, Aisya Natasya Musa menerusi Facebook.
Ayah kami Allahyarham Tan Sri Dato Seri Haji Musa bin Mohamad baru sahaja meninggal dunia pada pukul 7:12 malam tadi. Al-Fatihah.
Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dan seluruh warga DBP merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Musa Mohammad dan mendoakan agar allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan dikasihi-Nya.
Menurut, Dr. Hazami Jahari;
Selaku Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, sumbangan Tan Sri Dato’ Seri Musa Mohammad dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu, sastera dan penerbitan cukup besar kepada tanah air. Pada tahun 1984 misalnya telah diadakan Konvensyen Tulisan Jawi Peringkat Kebangsaan yang membawa kepada terbitnya buku Pedoman Ejaan Jawi oleh DBP pada tahun 1986. Usaha penerbitan ini semestinya bermula sebelum tahun 1986 dan memperlihatkan kesungguhan Pengerusi Lembaga Pengelola pada waktu itu.
Tambah beliau lagi;
Kepekaan dan kecaknaan allahyarham terhadap nilai bahasa dan sastera kebangsaan telah memimpin DBP dalam menggerakkan pelbagai aktiviti dan program demi kelangsungan pelestarian bahasa kebangsaan.
YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Musa Mohammad dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP yang kelima dari tahun 1983 hingga 1985.
Beliau menggantikan YBhg. Tan Sri Datuk Haji Sheikh Hamdan Sheikh Tahir yang menamatkan tempoh sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP pada tahun 1982.
Beliau juga merupakan Menteri Pendidikan yang berkhidmat dari tahun 1999 hingga tahun 2004, sekali gus menjadi individu pertama bukan ahli politik yang memegang jawatan itu.
Menurut Suit Siew Choong menerusi artikelnya bertajuk “Onak dan Duri dalam Pelaksanaan Sebutan Baku Bahasa Melayu” yang diterbitkan pada 14 Disember 2023, Menteri Pendidikan pada ketika itu, iaitu YBhg. Tan Sri Musa Mohammad memansuhkan bahasa baku di sekolah yang melibatkan aspek sebutan tetapi dari segi istilah dan ejaan, penggunaan bahasa baku masih diteruskan.
Pemansuhan itu adalah berikutan Kerajaan Malaysia membuat keputusan untuk memansuhkan sebutan baku bahasa Melayu pada tahun 2000.
YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Musa Mohammad juga pernah berkhidmat sebagai Naib Canselor Universiti Sains Malaysia dari tahun 1982 hingga tahun 1995.
Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Universiti Multimedia, Pengerusi Majlis Universiti UCSI dan memegang beberapa jawatan penting antaranya termasuklah Presiden Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan dari tahun 2001 hingga tahun 2003.