Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Karyawan DBP harus lebih berani mendepani cabaran dan perlu menguasai pelbagai bidang ilmu demi kebaikan organisasi.”
Demikian kata Encik Ismail Dahaman, seorang daripada pembicara dalam program Wacana Kesaktian Lidah Rakyat: Bicara Karyawan 68 yang berlangsung semalam di Dewan Dato’ Dr. Hassan Ahmad, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.
Wacana yang bertemakan “Perjuangan yang Belum Selesai” merupakan satu daripada program yang diadakan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-68.
Tujuan program ini adalah untuk mendekatkan warga DBP dengan mantan karyawan yang pernah menabur bakti di DBP, selain mempersegar, memperkukuh ukhuwah dan silaturahim antara satu dengan lain.
Dalam ucapan alu-aluan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan berkata,
Perjuangan perlu diperkasa biarpun menghadapi pelbagai rintangan dan perjuangan untuk memartabatkan bahasa dan sastera Melayu sentiasa berterusan.
Menurut beliau, program ini membolehkan mantan DBP berkongsi pengalaman mereka kepada karyawan yang masih bertugas di DBP.
Melalui sesi bual bicara dalam wacana tersebut, Puan Noresah Baharom, pembicara kedua menyatakan bahawa untuk menjadi karyawan DBP yang berwibawa amat penting untuk menguasai pelbagai bidang ilmu.
Tambah beliau,
Karyawan DBP harus mempunyai keterampilan dalam pelbagai bidang agar dihormati oleh masyarakat.
Hal ini sangat membantu karyawan DBP melaksanakan tugas dengan lebih cemerlang, sekali gus akan lebih dihormati oleh masyarakat.
Sementara itu, Encik Wahab Hamzah sebagai pembicara ketiga berpendapat bahawa warga DBP perlu iltizam yang sama untuk mencapai matlamat organisasi walaupun berbeza dari segi peranan dan bidang tugas.
Kata beliau,
Karyawan DBP harus merebut peluang untuk memajukan kerjaya dengan menyertai pelbagai aktiviti bahasa dan sastera serta menghasilkan penyelidikan yang bermanfaat kepada DBP.
Program yang dihadiri oleh karyawan dan mantan karyawan DBP ini menampilkan enam orang mantan karyawan DBP sebagai pembicara, iaitu Tuan Haji Abdul Khalik Sulaiman, Puan Hajah Noresah Baharom, Encik Ismail Dahaman, Dr. Mohamad Shaidan, Encik A. Wahab Hamzah dan Puan Kamariah Abu Samah, manakala Encik Abdul Ghani Abu dan Encik Saifullizan Yahaya selaku moderator.