Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangWindhoek – Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail meluangkan masa melawat ibu pejabat Namibian Broadcasting Corporation (NBC), iaitu stesen penyiaran awam dan rasmi milik kerajaan Namibia.
NBC memiliki dan mengendalikan beberapa saluran radio dan saluran televisyen beroperasi di Cullinan Street Northern Industrial Area, Windhoek.
Keberangkatan baginda yang diiringi sama oleh anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al Haj Jamalullail disambut dan seterusnya dipersembahkan taklimat serta dibawa melawat oleh Ketua Pengarah NBC, Stanley B Similo; Ketua Bahagian Berita dan Hal Ehwal Semasa, Peter Denk; serta Ketua Bahagian Berita dan Program, Menesia Muinjo.
Dalam kunjungan itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra menitahkan, baginda berpandangan bahawa adalah amat penting untuk melihat komuniti global terus bersatu.
Meskipun datang dari negara dan rantau yang berbeza, hal ini bukanlah penghalang kerana kita dapat berhubung melalui kemajuan media dan komunikasi pada hari ini. Seluruh penduduk dunia kini adalah warga universal sebagai ‘Global Village’ yang hidup sebagai sebuah keluarga yang besar.
Tambah baginda, sekiranya konsep “World Family” ini diterima oleh semua orang, semangat “Global Village” dapat mengurangkan sebarang jurang ketidaksamaan antara negara dan seterusnya menyatukan semua.
Banyak usaha dan kerjasama yang perlu dilaksanakan untuk lebih saling mengenali dan memahami antara satu sama lain. Hal ini juga merupakan kunci kejayaan bagi ‘Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), selaras dengan pengukuhan institusi dan keadilan’.
Terdahulu, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Namibia, YBhg. Datuk Dr. Mohamad Rameez Yahaya tampil secara langsung dalam temu bual segmen antarabangsa program televisyen “Good Morning” bagi memperkenalkan negeri Perlis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Selain itu, beliau menerangkan tentang program Safar Ilmi yang diketuai sendiri oleh Tuanku Pemangku Raja Perlis yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs.
Dari stesen NBC itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail terus berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hosea Kutako Windhoek bagi menamatkan lawatan khas di Namibia.
Lawatan ini padat dengan program penuh berimpak selama tiga hari melibatkan program agama, ekonomi khususnya industri halal, kemanusiaan, kemasyarakatan, masakan, pelancongan dan sukan, yang diaturkan oleh pihak Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Windhoek.
Turut serta dalam delegasi ini ialah Mufti Perlis, YBhg. Datuk Arif Perkasa Prof. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin; Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), YBhg. Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.