Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJurufoto: Mohd Farid Janudin
Kuala Lumpur – Wanita pada masa ini mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dalam pelbagai sektor dan bidang di samping bijak mengurus diri dan keluarga, sekali gus peranan yang ditunjukkan oleh mereka menjadi pemangkin kepada tercetusnya pelbagai perubahan dunia.
Isu tersebut dibahaskan oleh lima orang wanita unggul yang diundang khas untuk membentangkan kertas kerja mengikut bidang masing-masing dalam Seminar Aspirasi Wanita Madani yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), petang tadi.
YBrs. Dr. Norilmi Amilia Ismail dari Universiti Sains Malaysia memulakan sesi perkongsiannya tentang wanita juga boleh berjaya dalam bidang aeroangkasa yang dipenuhi dengan pelbagai cabaran seperti diskriminasi wanita dalam industri ini, fenomena keciciran dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), faktor kesihatan yang mempengaruhi perjalanan ke angkasa dan kurang representasi wanita di kedudukan tertinggi dalam sesebuah organisasi.
Ujar beliau,
Perkara ini merupakan satu cabaran kepada wanita untuk memikul pelbagai tanggungjawab pada satu masa yang sama, namun kita mampu untuk menghadapi segala cabaran itu sekiranya kita benar-benar melakukannya dengan penuh kesungguhan dan memahami kepentingannya bukan sahaja untuk diri sendiri, malah demi kepentingan masyarakat dan negara.
Sidang pleno pada petang itu diteruskan dengan sesi pembentangan kertas kerja oleh YBrs. Profesor Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail dari Universiti Malaya yang bertajuk “Wanita, Keseimbangan Keluarga dan Kerja: Solusi Menurut Perspektif Islam”.
Menurut beliau, dalam usaha mengimbangkan cara kerja dengan keluarga, kita perlu memastikan tidak ada sesiapa pun yang terabai kerana pengabaian itu boleh memberikan pelbagai implikasi untuk jangka masa pendek dan jangka masa panjang yang besar kepada sesebuah negara.
Beliau juga menyatakan bahawa sebagai seorang wanita, kita harus menangani keseimbangan itu dengan menguatkan jati diri dan berpegang teguh kepada empat teras utama, iaitu pengukuhan akidah, pelaksanaan hukum syarak, pengukuhan akhlak dan penghayatan beragama.
Seterusnya, seminar yang bertemakan “Wanita Tunjang Aspirasi Malaysia Madani” itu diisi dengan sesi perkongsian oleh YBrs. Dr. Salmi Jalina Jalil dari Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Johor tentang kemurungan dalam kalangan wanita yang termasuk dalam satu daripada komponen kesihatan mental.
Data daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada tahun 2017 menunjukkan bahawa sebanyak 5.1 peratus wanita lebih cenderung untuk mengalami kemurungan berbanding dengan lelaki yang mencatatkan hanya 3.6 peratus mengalami kemurungan.
Jelas beliau,
Situasi mengalami tekanan itu adalah normal, namun wanita haruslah berjaga-jaga dengan perkara ini agar tidak mencapai tahap kemurungan yang teruk sehingga memberikan impak negatif kepada diri sendiri ataupun orang lain, sekali gus mempengaruhi tanggungjawab dan kerjaya yang dimiliki.
Sementara itu, seorang pensyarah dan ahli oseanografi biologi yang banyak menghabiskan masanya di lautan, iaitu YBrs. Profesor Madya Dr. Nurul Huda Ahmad Ishak dari Universiti Malaysia Terengganu berkongsikan tentang laut dan pelbagai pengetahuan yang berkaitan dengan sains samudera ketika sesi pembentangan kertas kerjanya dalam seminar tersebut.
Pada masa yang sama, beliau turut berkongsikan pengalamannya sewaktu belayar di Laut China Selatan, Lautan Pasifik Barat Laut, Jepun dan wilayah Antartika ketika melaksanakan tanggungjawabnya, sekali gus menunjukkan kebolehupayaan wanita dalam penyelidikan saintifik dan membuktikan bahawa seorang wanita juga boleh berjaya dalam bidang yang sangat mencabar.
Pada sesi akhir sidang pleno dalam seminar itu, YBrs. Dr. Sandra Raman, seorang pempengaruh di media sosial menyatakan pandangannya tentang tindakan yang seharusnya diambil oleh seorang wanita sekiranya ingin menjadi tokoh, terutamanya dengan menggunakan platform media sosial.
Katanya,
Wanita yang ingin menjadi seorang tokoh yang berjaya haruslah memiliki kekuatan mental, menghormati dan mengenali diri sendiri sebagai seorang wanita dan mendapatkan bantuan segera sekiranya menghadapi sebarang masalah.
Sidang pleno yang berlangsung selama dua jam itu dikemudikan oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Soo Winchi selaku moderator yang merupakan seorang penyanyi, pelakon, pengacara, model dan pensyarah dalam jurusan Produksi Muzik dan Perniagaan di Universiti Multimedia Malaysia.
Turut hadir dalam seminar berkenaan ialah Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Basar, para akademik dari pelbagai institusi dan tetamu undangan lain.