Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKredit gambar: Encik Alwai Supri
Kota Kinabalu – Majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bukan sahaja menggalakkan pembudayaan membaca tetapi juga mendidik potensi diri murid sejak bangku sekolah terutamanya dalam bidang pengkaryaan.
Ujar YBhg. Datuk Jasni Mat Lani, Ahli Lembaga Pengelola DBP,
Saya sendiri sebenarnya sebagai seorang penulis lahir daripada majalah terbitan DBP, di mana saya bermula dengan menulis bagi majalah Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Dewan Budaya dan termasuklah Dewan Pelajar serta Dewan Bahasa.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas (MDK) Kembali ke Sekolah Peringkat Negeri Sabah, pada 31 Julai 2024, di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kimanis, Papar.
Tambah beliau lagi,
Majalah terbitan DBP memaparkan pelbagai capaian ilmu dan isu semasa sama ada dalam bidang kreatif ataupun bukan kreatif dan saya amat yakin bahawa majalah ini amat sesuai digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran dalam kelas serta sesuai dijadikan satu bacaan yang wajib di sekolah.
Perkara itu turut diperkatakan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Tuan Haji Abdullah Sarudin yang turut hadir dalam majlis tersebut.
Menurut beliau, melalui Program MDK ini, para guru dapat mendidik murid untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai saluran perungkapan luar fikiran dan ilmu pengetahuan yang berkesan dengan bahasa yang betul dan indah.
Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada DBP kerana merealisasikan usaha Program Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) dalam melahirkan masyarakat berilmu.
Dalam majlis yang sama, sebanyak empat buah sekolah dari empat daerah di Sabah turut diraikan dengan sumbangan buku melalui Program Wakaf Buku oleh DBP Cawangan Sabah bersempena dengan Program DMK.
Empat sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kimanis, Papar; Sekolah Kebangsaan Gadong, Beaufort; Sekolah Kebangsaan Menumpang, Kuala Penyu dan Sekolah Kebangsaan Solob, Sipitang.
Terdahulu, tiga program MDK yang melibatkan 140 orang murid sekolah rendah, 140 orang murid sekolah menengah dan 70 orang guru telah diadakan serentak dengan kerjasama DBP Cawangan Sabah, Bahagian Majalah DBP dan Akademi DBP dengan JPN Sabah.
Pada kali ini, Program Gerak Gempur MDK Kembali ke Sekolah Peringkat Negeri Sabah melibatkan sekolah dari empat buah daerah di Sabah, iaitu daerah Sipitang, Kuala Penyu, Beaufort dan Papar.
Gambar sekitar Majlis Perasmian dan Program Gerak Gempur MDK Kembali ke Sekolah Peringkat Negeri Sabah: