Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangFoto: DBP Cawangan Sarawak
Miri – “Program Majalah Dalam Kelas merupakan satu daripada usaha pembudayaan ilmu dalam kalangan guru dan pelajar.”
Demikian antara petikan ucapan daripada Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) YBrs. Dr. Hazami Jahari, sewaktu merasmikan Majlis Penutupan Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas (MDK) Kembali ke Sekolah yang diadakan di Sekolah Menengah Sains (SM) Miri, Sarawak, pada hari ini.
Program MDK yang berlangsung selama dua hari ini telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Miri, pada 1 Ogos 2024 dan Sekolah Menengah (SM) Sains Miri, pada 2 Ogos 2024. Selain sesi taklimat tentang panduan penulisan, turut diadakan ialah sesi penerangan tentang kaedah penggunaan majalah sebagai alat bantu pembelajaran.
Pelaksanaan Program MDK sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menginginkan para pelajar terlibat dalam proses pembudayaan ilmu termasuklah menjadikan pembacaan sebagai satu budaya hidup. Program ini juga bertujuan untuk membantu guru Bahasa Melayu, khususnya dalam mempelbagaikan kaedah, teknik dan bahan pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Selain itu, program MDK turut diadakan untuk mendekatkan pelajar dengan majalah terbitan DBP dan menjadikan majalah DBP sebagai bahan sokongan pembelajaran yang menampilkan pelbagai isu semasa yang sesuai dengan pembelajaran pelajar. Antara majalah tersebut termasuklah majalah Dewan Siswa, Dewan Kosmik dan Dewan Tamadun Islam.
Antara pengisian program MDK termasuklah taklimat tentang peluang penerbitan dalam Majalah Dewan Siswa yang disampaikan oleh Editor Dewan Siswa, aktiviti menukarkan rencana kepada pantun, meneruskan cerpen dan kuiz menara belon.
Program MDK yang diadakan di SM Sains Miri ini telah dihadiri oleh 100 orang pelajar tingkatan tiga dan tingkatan empat Sekolah SM Miri serta lima orang guru.
Dalam ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Abang Julai berkata, penggunaan majalah terbitan DBP sebagai bahan bantu pembelajaran berupaya meningkatkan kecekapan berbahasa dan ketepatan berkomunikasi dalam kalangan pelajar.
Menurut Encik Abang Haliman Abang Julai lagi:
Melalui pembacaan dan penganjuran program Majalah Dalam Kelas, para guru dapat mendidik para pelajar menjadikan bahasa Melayu sebagai saluran pengungkapan buah fikiran dan ilmu pengetahuan yang berkesan, betul dan indah .
Selain itu, Ketua Pengarah DBP sewaktu menyampaikan ucapan pula berharap agar penganjuran program MDK ini dapat diteruskan di sekolah-sekolah lain sekitar Sarawak. Menurutnya lagi:
Saya berharap agar majalah terbitan DBP akan membantu melahirkan pelajar yang intelektual dan membina suatu ruang pembudayaan ilmu dalam kalangan guru dan pelajar.
Turut hadir sama dalam majlis penutupan ini ialah Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Miri, Puan Mariam Haji Monek; Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai; Pengetua SM Sains Miri, Puan Dayang Laila Haji Kahar; wakil Pengetua SMK Agama Miri, Puan Nurfaizah Abu Yama; guru-guru dan pelajar sekolah.
Untuk rekod, Program Gerak Gempur MDK Kembali ke Sekolah yang diadakan di SMKA Miri, Sarawak, pada 1 Ogos 2024 melibatkan 51 orang pelajar tingkatan tiga dan tingkatan empat serta lima orang guru.
Dalam program MDK ini, para pelajar telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan perlu menghasilkan pantun berdasarkan artikel dan meneruskan kesudahan cerpen. Rata-rata pelajar dapat menghasilkan pantun yang baik dan indah dalam masa yang singkat.
Ternyata para peserta program MDK ini bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik malah mempunyai potensi yang boleh digilap untuk menghasilkan karya sastera yang lebih baik dan bermutu pada masa akan datang.
Pelaksanaan Program MDK di Miri ini mencakupi pelibatan pelajar dalam aliran agama dan sains bukan sahaja di Semenanjung Malaysia bahkan di Borneo termasuklah di Miri, Sarawak. Program ini diharap agar dapat memberikan pendedahan dan menarik minat pelajar dalam aliran agama dan sains untuk menampilkan bakat mereka dalam penulisan kreatif dan bukan kreatif.