Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKangar – Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru agar rakyat di negeri Perlis aktif bersukan berdasarkan kemampuan dan minat masing-masing.
Baginda juga menyarankan setiap taman perumahan dan kampung mewujudkan kelab-kelab sukan dengan melibatkan setiap peringkat umur tanpa mengira jantina untuk terus aktif bersukan.
Baginda bertitah sedemikian ketika berkenan meluangkan masa menyaksikan sesi latihan pasukan African Stars Football Club yang merupakan penyandang juara Liga Perdana Namibia, baru-baru ini.
Ketika menyaksikan latihan pasukan tersebut, baginda mencadangkan agar Majlis Sukan Negeri Perlis menggalakkan badan pentadbir sukan negeri mewujudkan lebih banyak pertandingan untuk mengesan bakat-bakat muda. Titah baginda;
“Langkah ini secara tidak langsung akan berjaya melahirkan atlet sukan dari Negeri Perlis yang mampu menghadiahkan kilauan pingat untuk Perlis bagi kejohanan seperti Sukan Malaysia (SUKMA), seterusnya mewakili Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi seperti temasya Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA), Sukan Komanwel , Sukan Asia dan Sukan Olimpik.”
Selain itu, baginda juga menyarankan agar agensi kerajaan dan swasta bekerjasama membantu merancang serta menyediakan fasiliti sukan yang lengkap kepada semua penduduk Perlis.
Terdahulu, baginda berangkat ke Windhoek, Namibia sempena Program Safar Ilmi anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Di sana, baginda terlibat dengan sesi perbincangan bersama Yayasan Pembangunan dan Pendidikan Afrika Namibia (ADEF) yang melibatkan Ahli Lembaga Pusat Islam Windhoek (WIC).
Delegasi Safar Ilmi MAIPs ini kemudian bergerak ke International University Management (IUM) of Namibia yang sudahpun mempunyai kerjasama Perjanjian Persefahaman dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Lawatan ke Namibia turut diiringi anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail; Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof Dr Mohd Asri Zainul Abidin; Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Datuk Dr Zaliman Sauli dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.