Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMerlimau – Berdasarkan dana khas yang diberikan oleh Kementerian Kewangan pada tahun 2024, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan membekalkan majalah terbitan DBP ke sekolah yang akan disenaraikan untuk manfaat pelajar dan guru sebagai sokongan kepada Kementerian Pendidikan dalam usaha meningkatkan budaya membaca, kecintaan ilmu, kemahiran berbahasa dan meningkatkan pencapaian akademik.
Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari mengumumkan perkara tersebut semasa majlis perasmian Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas Kembali ke Sekolah dan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka di SK Merlimau Dua, Melaka pada pagi tadi.
“Peruntukan telah disediakan dan kita akan bekalkan majalah secara percuma untuk kegunaan guru dan pelajar,” katanya.
Menurut beliau, DBP telah menerbitkan majalah 11 majalah berdasarkan tahap dan bidang dan kesemuanya menampilkan bahasa yang baik, bahasa yang standard dan kandungan yang sesuai dengan tahapnya.
Dalam usaha pembudayaan ilmu menerusi majalah sebagai bahan bantu pengajaran dan pembelajaran, tambah beliau:
Untuk para pelajar sekolah rendah, kami menyarankan pada hari ini Dewan Pelajar. Untuk pelajar sekolah menengah, kita ada beberapa majalah yang sesuai seperti Dewan Siswa, Dewan Masyarakat, Pelita Bahasa dan Dewan Kosmik, bahkan kalau berani lagi untuk tingkatan enam, Dewan Ekonomi juga ada dan sesuai digunakan.
Dalam kesempatan tersebut, YBrs. Dr. Hazami turut menjelaskan bahawa tidak rugi bagi seseorang berbelanja untuk membeli bahan bacaan kerana buku boleh disimpan, boleh dibaca dan ilmu yang diperoleh dapat meningkatkan tahap dan kedudukan seseorang itu serta memberikan keberkatan dalam hidup dan perkara tersebut dituntut oleh agama.
Ketua Pengarah DBP menyatakan bahawa DBP bersungguh-sungguh dalam usaha pembudayaan ilmu kerana Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas Kembali ke Sekolah telah diadakan di beberapa zon dan negeri dalam usaha membina kemenjadian pelajar.
Pada majlis tersebut, beberapa sekolah turut menerima buku yang diwakafkan, iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Merlimau; Sekolah Kebangsaan Tengkera 1; Sekolah Kebangsaan Bendahara Seri Maharaja; Sekolah Kebangsaan Merlimau Dua; dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ldg. Bukit Kajang.
Selain itu, beliau turut menyampaikan hadiah kepada sekolah yang berjaya dalam Pertandingan Sudut Bacaan MADANI, iaitu tempat pertama diraih oleh SK Sungai Petai dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,000.
Manakala naib johan membawa pulang wang tunai sebanyak RM800 dan dimenangi oleh SMK Air Keroh dan tempat ketiga ialah SK Sungai Rambai dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM600.
Sebanyak tiga buah sekolah turut menerima hadiah sagu hati bernilai RM300, iaitu SK Kem Terendak, SK Merlimau Dua dan SJK Cina Air Keroh.
Sementara itu, Penolong Ketua Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Encik Nasaruddin Rahmat, mewakili Pengarah Pendidikan Negeri Melaka dalam ucapan alu-aluanya berkata bahawa DBP merupakan tonggak utama dalam menarik minat membaca dalam kalangan pelajar.
Ujar beliau,
Cabaran kita dalam dunia teknologi ini adalah untuk memastikan bahan bacaan berkualiti dan berintergriti. Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas Kembali ke Sekolah anjuran DBP merupakan bukti kepada perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi wadah penyebaran ilmu pengetahuan.
Program MDK ini merupakan program yang dilaksanakan untuk memperkasakan budaya membaca di sekolah menerusi penggunaan bahan bacaan yang berkualiti seperti majalah kerana dapat mempertajam minda pelajar dan membantu guru meningkatkan prestasi pengajaran dan pembelajaran.
Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas Kembali ke Sekolah dan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka merupakan program yang dianjurkan oleh DBP Wilayah Selatan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Melaka; Pejabat Pendidikan Daerah Jasin, Melaka; Bahagian Majalah DBP; Bahagian Pemasaran dan Pengedaran DBP serta Bahagian Multimedia DBP.
Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah DBP Wilayah Selatan, Tuan Haji Mohd Riduwan Wahab; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pembelajaran, Pejabat Pendidikan Daerah Jasin, YBrs. Dr. Haji Mohd Alfouzii Nasir; Guru Besar Sekolah Kebangsaan Merlimau Dua, Encik Azmeer Muhtar; dan Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar.