Oleh Salmiyah Harun
2 September 2024, 17:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Bola sepak merupakan sukan yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat pada hari ini, bahkan menjadi simbol penyatuan yang menghubungkan masyarakat tanpa mengira kaum, agama atau budaya.

Kira-kira 24 pasukan telah berentap dalam Kejohanan Bola Sepak Anak-anak Merdeka 2024, mempamerkan semangat bersempena dengan Hari Kebangsaan ke-67 yang berlangsung pada 31 Ogos lalu.

Kesemua pasukan yang bertanding sedang berkumpul di Padang SK Francis Light sebelum acara bermula.

Kejohanan ini bertujuan untuk memupuk bakat sukan serta menyemarakkan lagi semangat perpaduan dan patriotisme dalam kalangan generasi muda.

Program yang dianjurkan oleh Kelab Sukan Rekreasi Padang Polo (PPSRC) yang berlangsung di Padang SK Francis Light ini melibatkan penyertaan kira-kira 288 peserta yang terdiri daripada golongan muda untuk mempamerkan kemahiran mereka di atas padang.

Matlamat utama program ini adalah untuk menyemai nilai kerjasama, semangat kesukanan dan menghormati kepelbagaian dalam kalangan peserta, selaras dengan semangat merdeka di negara ini.

Di samping bersukan, kejohanan ini juga bertujuan untuk menyemai semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.

Melalui penyertaan dalam aktiviti seperti ini, mereka didedahkan dengan amalan kerjasama, toleransi dan kefahaman bersama yang merupakan kunci kepada pembentukan negara yang harmoni dan makmur.

Ahli Parlimen Bukit Bendera YB Syerleena Abdul Rashid, ketika merasmikan kejohanan ini telah menyatakan rasa bangganya terhadap komitmen dan semangat yang ditunjukkan oleh semua peserta.

“Sukan disifatkan sebagai kekuatan penyatuan yang membawa kebaikan dalam kalangan belia kita. Saya amat gembira melihat semangat dan bakat yang dipamerkan. Marilah kita terus memupuk nilai ini dan memastikan semangat Merdeka sentiasa subur dalam diri kita,” jelas beliau.

Kejohanan ini turut menyaksikan penyertaan pasukan bola sepak perempuan yang menandakan pelibatan aktif golongan wanita dalam sukan ini.

Kejohanan ini turut menyaksikan penyertaan pasukan bola sepak perempuan.

Sebanyak dua kategori dipertandingkan, iaitu bawah 12 (U12) dan bawah 10 tahun (U10).Pemenang bagi kategori bawah 12 tahun berjaya dimenangi oleh pasukan Phoenix Warrior Predator (Pulau Pinang), manakala naib johan pula disandang oleh Akademi Wira Muda (Pulau Pinang) dan pemenang tempat ketiga, iaitu Penang Panther (Pulau Pinang) serta tempat keempat pula oleh Bintang Biru (Pulau Pinang).

Pemenang bagi kategori U12 berjaya dirangkul oleh Phoenix Warrior Predator yang berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000.

Pemain terbaik bagi perlawanan akhir dianugerahkan kepada Hijjaz Haqeem Mohamad Zulkefli daripada Akademi Wira Muda. Penjaga gol terbaik bagi perlawanan akhir disandang oleh Zulirfan Zulazri daripada pasukan  Phoenix Warrior Predator.

Sementara itu, bagi pemenang bawah 10 tahun pula dirangkul oleh pasukan Akademi Wira Muda (Pulau Pinang), manakala naib johan disandang oleh Penang Panther White (Pulau Pinang), serta pemenang tempat ketiga dimenangi oleh Penang Panther Black (Pulau Pinang) dan keempat oleh Raintown FC (Perak). Pemain terbaik perlawanan akhir bagi kategori bawah umur 10 tahun disandang oleh Muhammad Farid Zakwan Mohd Firdaus dari pasukan Penang Panther White dan penjaga gol terbaik perlawanan akhir dianugerahkan kepada Airil Fazril Zull Haffizal daripada pasukan Akademi Wira Muda.

Bagi Kategori U12, johan menerima wang tunai sebanyak RM2,000 berserta piala dan pingat. Naib johan pula membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,000 berserta piala dan pingat, manakala tempat ketiga membawa pulang RM500 piala dan pingat.

Johan bagi Kategori U10 pula menerima wang tunai sebanyak RM1,200 berserta piala dan pingat. Naib Johan menerima wang tunai sebanyak RM600 berserta piala dan pingat, manakala tempat ketiga membawa pulang wang tunai sebanyak RM300 berserta piala dan pingat. Turut dinobatkan pada akhir acara ialah pemain terbaik perlawanan akhir serta penjaga gol terbaik perlawanan akhir. Semua pemain diberikan e-sijil atas penyertaan mereka. 
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.