Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSepang – Warga Sepang menzahirkan rasa cinta yang mendalam akan tanah air dengan menonjolkan kreativiti mereka menghias kawasan kampung dan taman perumahan mereka melalui Pertandingan Hiasan Patriotik yang diadakan bersempena dengan Program Jelajah Jiwa Merdeka @ Sepang.
Syabas dan tahniah kepada warga Sepang yang begitu teruja dan bersemangat meraikan Hari Kebangsaan tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.
Inilah semangat perpaduan yang sebenar, selari dengan tema Hari Kebangsaan ke-67 yang menekankan Malaysia MADANI sebagai asas kemakmuran dan kemajuan negara kita melalui dukungan enam nilai teras utama.
Perkara itu disebut oleh YB Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Sepang melalui hantaran di laman sosial Facebook miliknya.
Beliau bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), YB Datuk Haji Borhan Aman Shah; ADUN Sungai Pelek, YB Lwi Kean Keong; dan Penyelaras DUN Dengkil, Tuan Haji Noorazli Said mengadakan lawatan ke sembilan buah kampung dan satu taman perumahan di sekitar tiga kawasan DUN terbabit.
Program tersebut yang merupakan inisiatif Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen P.113 Sepang diadakan bersesuaian dengan tema Hari Kebangsaan 2024, Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka.
Mengulas tentang tema Hari Kebangsaan 2024, beliau berkata bahawa Jiwa Merdeka menjadi manifestasi kebebasan rakyat Malaysia daripada segala unsur negatif, menterjemahkan semangat patriotisme dan cinta negara melalui pelbagai cara, iaitu daripada pemikiran yang murni, integrasi sosial yang kukuh sehingga kemajuan ekonomi yang inklusif.
“Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka menjadi simbol kesepaduan holistik sebuah negara yang maju, di mana rakyat yang berbilang kaum bersatu hati dengan jati diri yang kukuh,” ujar beliau.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), YAS Dato’ Ts. Nor Hisham Mohammad semasa sesi pelepasan di Padang Bola Sepak Kampung Dato Ahmad Razali, Dengkil.
Kredit foto: YB Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu