Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya — Pucuk pimpinan Malaysia dan New Zealand yang diwakili oleh Perdana Menteri kedua-dua negara bersetuju untuk mengukuhkan hubungan dua hala, terutamanya dalam bidang pendidikan, penyelidikan, keselamatan dan perdagangan pada sidang akhbar di Seri Perdana, semalam.
Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan ketibaan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon semalam dalam rangka kunjungan pertama kali beliau ke negara ini sejak menyandang tugas sebagai Perdana Menteri pada November tahun lepas.
Dari segi kerjasama dalam bidang pendidikan, YAB Dato’ Seri Anwar berkata pelajar-pelajar Malaysia telah mendapat banyak manfaat daripada program pertukaran pelajar ke New Zealand.
Melalui kerjasama ini, lebih banyak peluang akan dibuka kepada pelajar Malaysia untuk menuntut ilmu ke New Zealand, terutamanya untuk program pascasiswazah dalam bidang-bidang yang mempunyai pakar-pakar dari New Zealand seperti peralihan tenaga dan teknologi makanan.
Kedua-dua belah pihak juga telah bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dan pelaburan dalam bidang penyelidikan khususnya membabitkan industri halal.
“Oleh itu, pihak kerajaan Malaysia akan memulakan mesyuarat Kabinet esok dan mengambil kira saranan, nasihat serta pengalaman yang dikongsikan oleh Luxon untuk merealisasikan hasrat kedua-dua negara,” tambah beliau.
Sementara itu, Luxon berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk memperkukuh kerjasama pertahanan sebagai langkah proaktif dalam menangani jenayah transnasional, memerangi keganasan dan menentang ekstremisme ganas.
Kami sedang mengembangkan kerjasama pertahanan kami bersama Malaysia dengan menghantar salah satu pesawat Angkatan Tentera Udara New Zealand, iaitu P-8 Poseidon, ke Butterworth untuk menjalani latihan bersama-sama.
Beliau menambah, New Zealand bakal memperluas perdagangan dengan Malaysia menerusi peningkatan perdagangan dua hala sebanyak 50 peratus menjelang tahun 2030 dan menangani halangan bukan tarif yang wujud antara kedua-dua negara untuk memacu kerjasama dari segi perdagangan.
Kedua-dua buah negara kini sedang meningkatkan kerjasama kastam dan memperkemas pengesahan elektronik untuk memudahkan aliran perdagangan di sempadan.
Luxon juga membawa delegasi yang terdiri daripada 17 pemimpin syarikat terbesar New Zealand untuk meneroka pasaran Malaysia memandangkan negara ini telah lama menjadi pasaran eksport 10 teratas untuk New Zealand.