7 September 2024, 20:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Padang Besar – “Budaya buli dalam kalangan masyarakat perlulah diberikan perhatian serius kerana akan memberikan kesan negatif kepada mangsa dan juga pembuli, terutamanya kesihatan mental dan fizikal”.

Demikian titah Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan Majlis Penutupan Kem Jati Diri untuk Pelajar Terpilih Sekolah Menengah Negeri Perlis yang diadakan di Rejimen 504 Askar Wataniah, Kem Bukit Keteri, Kangar.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus, Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin dan Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji.

Majlis Penutupan Kem Jati Diri untuk Pelajar Terpilih Sekolah Menengah Negeri Perlis yang diadakan di Rejimen 504 Askar Wataniah, Kem Bukit Keteri, Kangar telah disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Kem ini telah dianjurkan oleh YTSP Perlis dengan kerjasama MAIPs, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan Rejimen 504 Askar Wataniah serta ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Bank Rakyat yang melibatkan sebanyak 90 orang pelajar lelaki tingkatan empat terpilih dari sekolah menengah di negeri ini pada 3 September hingga 5 September 2024.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh pelajar yang menyertai Kem Jati Diri untuk Pelajar Terpilih Sekolah Menengah Negeri Perlis.

Objektif program ini adalah bagi membimbing peserta agar dapat menerapkan nilai murni dan jati diri dalam diri setiap pelajar, memberikan pendedahan berkenaan dengan isu semasa, memperkukuhkan disiplin dalam kalangan  peserta dan memupuk semangat patriotik dan cintakan negara.

Tuanku Pemangku Raja Perlis turut berkenan untuk menyempurnakan Anugerah Peserta Terbaik Keseluruhan kepada Kishsen Rao A/L Sisubalan yang merupakan pelajar daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yayasan Bank Rakyat yang telah berbesar hati untuk menaja program ini untuk dua tahun berturut-turut dan berharap agar program seumpama ini dapat menjadi antara platform bagi mengukuhkan jati diri rakyat negeri Perlis yang “Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Segala Tindakan”.

Turut hadir sama ialah Menteri Besar Perlis, YB Tuan Mohd Shukri Ramli; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim Haji Mohd Noor dan Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Syaiful Rizal Abdul Ghani.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.