Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Semangat guru merupakan pencetus kejayaan pemenang bagi Pertandingan Pidato Aspirasi Generasi MADANI yang berlangsung di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), semalam.
Kemenangan ini sebenarnya hasil semangat guru saya. Guru saya berkorban untuk pertandingan ini dan doa dari keluarga yang menjadi kekuatan saya.
Demikian kata johan pertandingan Pidato Aspirasi Generasi MADANI, kategori Sekolah Kebangsaan, iaitu Nur Awadah Mohd Adli, dari Sekolah Kebangsaan Dato’ Demang Hussin, Melaka.
Pertandingan tersebut yang berlangsung dari 8 hingga 10 September, di Auditorium DBP menyaksikan sebanyak 79 peserta berentap merebut kejuaraan pertandingan ini. Pidato Aspirasi Generasi MADANI melabuhkan tirainya semalam dengan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan disempurnakan oleh YB Fadhlina Sidek.
Bercakap tentang soal pidato spontan, Nur Awadah menyifatkan latihan dan persediaan rapi yang melibatkan 80 tajuk turut menyumbang kepada kejayaannya.
Walau bagaimanapun, saya terima seadanya dengan apa-apa sekalipun tajuk yang diberikan.
Perkara yang sama turut diakui oleh johan bagi kategori Sekolah Menengah Rendah, iaitu Auni Nabiha Ahmad Zaki dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 10 Kota Damansara, Selangor.
Menurut Auni Nabiha, komitmen gurunya merupakan satu daripada faktor beliau berjaya pada tahap ini.
Cikgu tidak putus-putus usahakan agar saya berjaya sehingga memanggil guru yang merupakan johan di peringkat antarabangsa untuk bersama-sama melatih saya di sekolah.
Bahkan cikgu juga pesan apabila berada di pentas, tonjolkan persembahan terbaik menerusi bakat yang dimiliki.
Antara cabaran yang dihadapi termasuklah perasaan takut dan gementar apabila berdepan dengan orang ramai, tetapi semangat guru dan rakan membuatkan beliau mengetepikan perasaan itu.
Kami berlatih hampir dua minggu untuk mengurangkan kesilapan walaupun pada saat akhir masih ada kesilapan yang perlu diperbetulkan.
Tambahnya, rakan juga memberikan semangat dengan menyatakan beliau mampu melakukannya.
Perasaan gementar memuncak apabila beliau terpilih ke peringkat kebangsaan buat pertama kali selepas dinobatkan sebagai johan pada peringkat negeri, dan akhirnya berjaya memperoleh kemenangan sekali lagi sebagai johan kategori Sekolah Menengah Rendah peringkat kebangsaan pada tahun ini.
Sebagai rekod, Pertandingan Pidato Aspirasi Generasi MADANI yang berlangsung merupakan program anjuran Pasukan Petugas Khas Reformasi Pendidikan: Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris atau lebih dikenali sebagai MBMMBI dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri.
Kategori yang dipertandingkan ialah Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan, Sekolah Menengah Rendah, Sekolah Menengah Atas dan Prauniversiti.