Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – YBhg. Datuk Haji Ruji bin Haji Ubi menerusi amanatnya dalam Majlis Aspirasi 100 Hari KSU: Memacu Reformasi Penyampaian Awam pada pagi tadi, menggariskan tiga objektif dan 10 aspirasi yang menjadi keutamaan dalam tempoh 100 hari terawal perkhidmatan beliau sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang baharu.
Tiga objektif tersebut adalah untuk memperkukuh tatakelola, meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti dan memperkasakan sistem penyampaian.
Datuk Haji Ruji menjelaskan bahawa aspirasi pertama yang menjadi keutamaan beliau ialah menyemak semua peraturan dan prosedur sedia ada.
Kata beliau,
Terdapat perkara yang perlu penambahbaikan, contohnya pelaporan pelanggaran terhadap perkara yang berkaitan dengan tatatertib serta keputusannya perlu disegerakan kerana perkara ini bukan sahaja menjadi keutamaan yang ditekankan oleh Ketua Setiausaha Negara, malah Perdana Menteri sendiri.
“Perkara yang lain, termasuklah penyediaan spesifikasi perolehan kerja atau barangan perlu diteliti semula.
Aspirasi seterusnya ialah pelan intervansi semua projek dan perolehan berstatus sakit, lewat jadual dan belum mula yang dilaksanakan oleh KPM dan JKR yang menurut beliau sangat dititikberatkan oleh YB Menteri Pendidikan.
Sementara itu, konsep lawatan turun padang melalui pendekatan Management by Walking Aroud (MBWA) akan dilakukan secara berperingkat.
Dalam amanat itu juga, Datuk Haji Ruji memaklumkan bahawa:
KPM akan melancarkan dan membangunkan Matrik Kajian Pelan Induk Pendidikan Prasekolah 2026 – 2030.
“Oleh itu, KPM perlu menjadi pemain utama dalam bidang pengurusan pendidikan prasekolah seperti aspek kurikulum dan infrastrukturnya.
Dalam aspirasi kelima, iaitu kelulusan bagi pindaan Akta 550, khususnya yang berkaitan dengan pendidikan wajib hingga tingkatan lima dan menjadikan bangunan universiti sebagai lokasi pembelajaran pelajar tingkatan enam turut menjadi perhatian Datuk Haji Ruji.
Dalam perkembangan yang berkaitan, selain pindaan akta tersebut, tegas beliau,
Saya lihat terdapat keperluan segera untuk meminda Akta 213, iaitu Akta Dewan Bahasa dan Pustaka selepas pertemuan dengan pihak pengurusannya baru-baru ini.
Selain itu, bagi tempoh 100 hari ke hadapan, Datuk Haji Ruji berharap KPM dapat terus memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai pihak seperti Kementerian Dalam Negeri dan Agensi Antidadah Kebangsaan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pungutan Zakat serta Jabatan Pendaftaran Negara.
Aspirasi seterusnya ialah KPM berhasrat membangunkan Pelan Tindakan Bersepadu Program Pembinaan Karakter GenMADANI yang melibatkan semua peringkat institusi pendidikan.
Selaras dengan saranan Perdana Menteri, KPM juga akan membangunkan Pelan Kerjasama KPM dengan pihak swasta, yakni dapat membantu usaha KPM untuk menoktahkan masalah yang berkaitan dengan sekolah berstatus daif di seluruh negara.
Selain itu, usaha KPM dalam penyelarasan penyediaan Pelan Komunikasi, perancangan Memorandum Jemaah Menteri, Nota Jemaah Menteri dan kertas-kertas strategik KPM, turut mendapat perhatian Datuk Haji Ruji.
Dalam hal ini, cadang beliau,
Konsep ‘Tiada Minggu Tanpa Nota Jemaah Menteri’ dengan hasrat agar semua aktiviti dan perancangan KPM akan dilaporkan kepada Jemaah Menteri pada setiap minggu.
Bagi aspirasi ke-10, KSU KPM itu menyatakan bahawa pihaknya harus merancang reformasi yang berstruktur agar fungsinya sentiasa dapat diperkemas dalam menghasilkan perkhidmatan yang terbaik.