Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKangar – Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah menyarankan agar Jabatan Audit Negara (JAN) terus membantu jabatan dan agensi kerajaan di negeri Perlis menggunakan pendekatan membimbing dan memantau secara berterusan bagi mempertingkatkan lagi prestasi penyampaian perkhidmatan masing-masing dengan sebaik mungkin.
Bagi tujuan tersebut, baginda mahu jabatan dan agensi terbabit menerima dengan hati terbuka peranan JAN Negeri Perlis sebagai rakan pendamping, dan bukan sekadar mencari kesalahan.
Dalam erti kata lain, JAN menjadi penimbang tara ke arah memperteguh peranan dan fungsi sesuatu jabatan dan agensi itu.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian melalui hebahan media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ketika berkenan menerima mengadap Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi di Dewan Kuliyyah MAIPs, Behor Temak, Kangar baru-baru ini.
Pada kesempatan itu, Tuanku Raja Muda bertitah agar semua agensi di Perlis memberikan komitmen yang padu supaya mencapai sasaran dalam pencapaian keseluruhan Sijil Bersih Tanpa Teguran Ketua Audit Negara menjelang tahun 2027.
Amalan terbaik yang dilaksanakan oleh beberapa agensi termasuklah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis yang berjaya mendapat Sijil Bersih Tanpa Teguran dan juga MAIPs yang berjaya mempertahankan pencapaian itu selama 11 tahun mesti dilaksanakan oleh semua agensi di Perlis agar sasaran pencapaian pengiktirafan akan dapat direalisasikan.
Sebagai rekod, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pernah mencipta sejarah sebelum ini apabila muncul sebagai Majlis Agama Islam pertama yang menerima pengiktirafan Standard Accounting for Government Agencies (SAGA) pada tahun 2017 selain muncul sebagai agensi Kerajaan Negeri Perlis pertama yang memperoleh pengiktirafan berkenaan.
MAIPs juga berjaya mengekalkan penarafan berkenaan pada tahun 2022 selain diberikan penarafan lima bintang daripada JAN dalam kecemerlangan Pengurusan Kewangan berdasarkan Indeks Akauntabiliti oleh Ketua Audit Negara pada tahun 2019.
Yang turut mengadap ialah Timbalan Ketua Audit Negara (Kewangan), Hajah Patimah Ramuji, Pengarah Audit Kewangan Ibu Pejabat Jabatan Audit Negara, Norliza Md Nuruddin@Nordin dan Pengarah Audit Negara Negeri Perlis, Rabianto Haji Sokam.
Yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Che Murad Sayang Ranjan dan Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin serta Pengerusi Jawatankuasa Kewangan dan Pengukuhan MAIPs, Datuk Abd Rauf Rashid dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.