Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangOleh: Muhammad Haziq Noor Affandi
Kangar – Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalulail bertitah bahawa adab dan tatasusila perlu dijaga dalam menyuarakan pendapat bagi menjaga keharmonian baik di peringkat nasional mahupun global.
Demikian titah Baginda ketika menyempurnakan Majlis Hijrah Minda Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) di Masjid Saidina Umar Al- Khattab, Guar Syed Alwi, Kangar, semalam.
Keberangkatan tiba Baginda ke majlis tersebut disambut oleh Mufti Perlis, Sahibuh Samahah Prof. Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Dalam majlis tersebut, Tuanku Raja Muda Perlis bertitah bahawa terdapat segelintir individu yang mungkin terlalu terkesan dengan sesuatu perkara sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan atau penulisan yang tidak beretika seperti tuduhan liar, sangkaan buruk, mengada-adakan cerita tanpa fakta yang benar, bahkan ada yang sanggup menipu demi menguatkan hujah dalam menyuarakan pendapat mereka.
Tindakan seperti ini disifatkan dilakukan dengan niat jahat untuk melaga-lagakan dan menjatuhkan maruah pihak tertentu.
Semua pihak harus adil dalam menerima sesuatu berita dan kenyataan dengan membuat semakan melalui saluran yang betul kepada pihak yang absah dan berautoriti bagi memastikan perkara yang dibangkitkan itu benar-benar sahih dan tepat.
Baginda turut bertitah bahawa kebebasan hak bersuara bagi sebarang isu perlulah mengambil kira undang-undang dan sensitiviti walaupun hak tersebut merupakan hak mutlak setiap individu.
Dalam majlis tersebut juga, Raja Muda Perlis berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs berjumlah RM14,000 kepada kira-kira 20 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Guar Syed Alwi dan setiap seorang daripada mereka menerima RM700.