24 September 2024, 13:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Gombak – Selepas terhenti selama beberapa tahun akibat pandemik COVID-19, Mesyuarat Jawatankuasa Perpustakaan Undang-Undang (JKPUU) kembali dengan misi yang lebih dinamik dan berwawasan. Mesyuarat ini berlangsung di Perpustakaan Dar al-Hikmah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), menghimpunkan pustakawan undang-undang dari pelbagai institusi di seluruh negara.

Acara ini berfungsi sebagai platform untuk melantik barisan kepimpinan baharu bagi sesi 2024-2026 dengan matlamat memperkasakan peranan pustakawan undang-undang serta mengukuhkan kerjasama antara perpustakaan undang-undang di Malaysia.

Pelantikan kepimpinan baharu ini menandakan permulaan kepada agenda strategik yang komprehensif bertujuan untuk mengembangkan bidang perpustakaan undang-undang ke tahap yang lebih tinggi.

Selain daripada perbincangan pentadbiran, mesyuarat ini turut memfokuskan pada bengkel penyediaan takwim aktiviti dan program dua tahun yang akan datang. Antara aktiviti yang dirancang termasuklah seminar, latihan, kolokium serta program yang dapat meningkatkan kepakaran para pustakawan dalam bidang undang-undang.

Sesi Mesyuarat di Perpustakaan Dar al-Hikmah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Mesyuarat JKPUU turut menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti, dengan mengadakan sesi perkongsian maklumat dalam kalangan para ahli. Pustakawan yang hadir berpeluang berkongsi kekuatan koleksi dan kepakaran masing-masing termasuklah bahan nadir yang jarang diperoleh. 

Pertukaran maklumat ini membuka ruang kepada institusi lain untuk mendapatkan akses kepada bahan-bahan penting tersebut, seterusnya dapat mengukuhkan jaringan kerjasama antara perpustakaan undang-undang di seluruh Malaysia.

Pengerusi JKPUU yang baru dilantik, Puan Yusrina Abu Bakar dalam ucapan penutupnya mengungkapkan rasa syukur atas kesempatan untuk memimpin mesyuarat pertama bagi tahun 2024.

Pengerusi JKPUU, Puan Yusrina Abu Bakar membentangkan agenda.

Beliau menyatakan, “Mesyuarat ini bukan sahaja untuk kita saling mengenali, tetapi juga sebagai platform bagi perkongsian ilmu yang bermanfaat. Kini, tiba masanya untuk kita realisasikan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang dan bertindak ke arah pembangunan bersama.”

Dengan kepimpinan baharu dan agenda strategik yang lebih terarah, JKPUU berhasrat untuk memperkukuh kerjasama antara perpustakaan undang-undang di Malaysia, sekaligus memperluas akses kepada sumber undang-undang dan meningkatkan peranan pustakawan dalam memajukan pendidikan undang-undang di negara ini.

Pertemuan ini bukan sahaja membuka ruang kepada perkongsian ilmu, malah turut memberikan impak positif kepada perkembangan perpustakaan undang-undang serta pemantapan profesionalisme dalam kalangan pustakawan.

Antara institusi yang hadir termasuklah Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Multimedia University (MMU), Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), dan Suruhanjaya Sekuriti.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.