27 September 2024, 16:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Rasa – Dalam mengatasi isu keciciran, kerjasama semua pihak diperlukan untuk mengisi kesenjangan dalam dunia pendidikan yang perlu dipenuhi untuk mengukuhkan ekonomi menerusi bidang ini. 

Perkara ini merupakan mesej tentang kebersamaan semua pihak dalam program ini dan kita juga mahukan keterlibatan ibu bapa supaya mereka diberikan kefahaman tentang program ini dan anak yang tercicir tidak disisihkan dalam dunia pendidikan, tidak boleh ada rasa putus asa terhadap anak-anak kita.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek menegaskan perkara tersebut ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Peluncuran Program Anak Kita: Semarak Potensi Malaysia bersama-sama dengan Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Sekolah Kebangsaan Rasa, Hulu Selangor, pagi tadi. 

YB Fadhlina Sidek ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Peluncuran Program Anak Kita: Semarak Potensi Malaysia di SK Rasa.

Sinergi kukuh antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan Kementerian Kewangan dengan kerjasama Yayasan Hasanah serta organisasi korporat, pertubuhan masyarakat sivil, universiti awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan organisasi antarabangsa ini adalah sejajar dengan pendekatan “whole of nation” dalam kerangka ekonomi MADANI bagi meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pendidikan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Peluncuran Program Anak Kita melalui montaj tayangan video, dengan menyeru pelajar dan ibu bapa untuk memanfaatkan peluang ini sebaik-baiknya supaya pelajar dapat bangkit dan bernafas semula dengan iltizam yang baharu.

Dengan melibatkan lebih 83,000 pelajar dan lebih 3,000 buah sekolah, program ini bertujuan menangani masalah keciciran murid atau learning poverty menerusi tiga aspek, iaitu masalah 3M (membaca, menulis, mengira) di tujuh buah negeri,  keciciran dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di 13 buah negeri serta masalah keciciran di enam buah negeri untuk fasa pertama program ini.

Ujar YB Fadhlina,

Dinamika nombor tersebut akan berubah berdasarkan intervensi yang telah pun dijalankan, mungkin bukan dalam masa terdekat tetapi yang penting adalah bagaimana kita mengungkap isu ini dan pemantauan akan dibuat untuk melihat ansur maju dan unjuran program.

YB Fadhlina dan YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan merakamkan gambar kenang-kenangan bersama-sama dengan tetamu kehormat dan murid-murid dalam lawatan ke bilik darjah.

Menurut YB Fadhlina lagi, program ini perlu dijalankan melalui pelbagai pendekatan, termasuklah kumpulan mentor, keterlibatan dan latihan untuk guru, bantuan alat pembelajaran digital, bimbingan hala tuju selepas SPM serta pelbagai bentuk modul dan latihan dalam memastikan agenda pendidikan ini benar-benar berjaya. 

Sebab itu saya fikir apa sahaja yang kita lakukan untuk program ini harus disambut oleh semua pihak – sebagai mesej kepada rakyat, mesej kepada ibu bapa dan juga mesej kepada komuniti.

Dalam usaha mengintegrasikan semula pelajar yang tercicir supaya kembali ke sistem pendidikan, rangka program ini telah termasuk dalam Belanjawan 2024 yang melibatkan sekitar RM100 juta, sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan dalam menangani isu keciciran ini.

Kredit Foto: Mohamad Adib Zulkifli
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.