Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangRasa – “Apakah kelebihan Program Anak Kita untuk pelajar seperti saya?” soal seorang murid kepada ahli panel, Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek. Soalan itu diajukan semasa sesi siar pod Program Anak Kita yang dihoskan oleh murid Tahun 6 dari SK Bukit Beruntung 2, Izzah Insyirah Ebrahim dan Marissa Jazleena Mohd Jeffrey.
YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menerangkan tentang matlamat program ini yang bertujuan untuk memperkasakan Ekonomi MADANI dengan memberi fokus kepada pendidikan.
Menurut beliau, setiap anak yang mengikuti pembelajaran arus perdana akan melalui fasa dari Tahun Satu sehingga ke Tingkatan Lima atau Enam, sebelum menyambung pengajian di institusi pilihan mereka. Namun, sekiranya murid-murid menghadapi masalah dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP), mereka mungkin akan tercicir dan ketinggalan berbanding dengan rakan-rakan mereka.
“Program Anak Kita bertujuan membantu murid-murid yang menghadapi cabaran ini dengan menyediakan sokongan agar mereka dapat mengejar semula pelajaran yang tertinggal, merapatkan jurang akademik dan memastikan mereka tidak terus ketinggalan,” ujar beliau.
Tambah beliau lagi, kementerian kini berusaha memajukan industri negara.
Dulu, ekonomi negara bergantung kepada industri pertanian, namun kini teknologi semakin berkembang, malah peranti peribadi kita sendiri dilengkapi perisian kecerdasan buatan (AI). Untuk memenuhi keperluan pekerjaan dalam industri baharu seperti semikonduktor, anak-anak perlu dilengkapkan dengan ilmu serta kemahiran yang berkaitan dengan industri-industri baharu.
Sementara itu, YB Fadhlina Sidek menjelaskan lebih lanjut tentang kelebihan Program Anak Kita dan pendekatan yang diambil untuk memastikan kejayaannya. Program ini melibatkan kerjasama antara Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan serta pelbagai pihak lain bagi menangani masalah keciciran pelajar.
“Program ini menggunakan tiga pendekatan utama, iaitu meningkatkan kemahiran 3M (Membaca, Menulis, Mengira), meningkatkan keputusan akademik bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta mengintegrasikan pelajar yang tercicir kembali ke dalam pendidikan arus perdana,” jelas beliau.
Program ini memberikan sokongan khas kepada murid sekolah rendah yang memerlukan bantuan tambahan dalam kemahiran 3M, supaya mereka dapat mencapai tahap pembelajaran yang lebih tinggi.
Selain itu, Program Anak Kita turut menumpukan perhatian kepada peningkatan keputusan akademik, terutamanya bagi pelajar yang menduduki peperiksaan SPM. Mata pelajaran seperti Sejarah dan Bahasa Melayu menjadi keutamaan dengan penyediaan sumber tambahan serta latihan guru yang menyeluruh bagi membantu meningkatkan prestasi akademik mereka.
Pada masa yang sama, program ini juga berusaha untuk mengembalikan pelajar yang tercicir ke dalam sistem pendidikan melalui sokongan psikososial dan pembelajaran yang disesuaikan, agar mereka dapat meneruskan pembelajaran dengan baik.
Program Anak Kita menyasarkan pelibatan sebanyak 83,752 pelajar dan 3458 sekolah di seluruh negara. Pelbagai aktiviti intervensi pembelajaran, seperti kursus pedagogi untuk guru, latihan kemahiran pentadbiran dan kepimpinan untuk pentadbir sekolah serta penggunaan teknologi sebagai alat bantuan pelajaran akan dilaksanakan untuk menjayakan program ini.
Tambahan pula, program tuisyen, sesi mentor-mentee dan program hibrid akan menjadi platform untuk memperkukuh pembelajaran di luar waktu persekolahan. Murid yang memerlukan bimbingan tambahan akan menerima bantuan yang lebih berfokus untuk mengukuhkan pemahaman dalam mata pelajaran yang sukar, sambil membina hubungan yang positif dengan mentor yang berpengalaman.
Semua langkah intervensi yang dirancang di bawah program ini bertujuan untuk melengkapkan dan menyokong segala usaha Kementerian Pendidikan yang sedang berjalan.
Majlis pelancaran program ini yang bertemakan “Anak Kita dan Kita Malaysia” diadakan bagi meraikan kepelbagaian kaum serta mengangkat semangat perpaduan dalam kalangan pelajar. Pelajar dari pelbagai aliran sekolah di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur turut hadir, termasuk pelajar dari SJK(C) Rasa, SJK(T) Kuala Kubu Bharu, SAMT Kuala Kubu Bharu, serta murid Orang Asli dari SK Tun Abdul Razak.