Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bersempena dengan sambutan Hari Jantung Sedunia, Nu Skin Malaysia menganjurkan acara tahunan Force For Good Day di Aquaria KLCC dengan penyertaan lebih 150 orang peserta. Acara tersebut menghimpunkan ahli gabungan (brand affiliate) Nu Skin, keluarga yang dibantu oleh Dana Jantung Kanak-Kanak Asia Tenggara (SEACHF) serta kakitangan syarikat.
Di sebalik suasana ceria dan interaktif acara ini, tersimpan matlamat besar untuk mencipta perubahan bermakna dalam kehidupan kanak-kanak yang berdepan dengan penyakit jantung kongenital.
Dana Jantung Kanak-Kanak Asia Tenggara (SEACHF) memainkan peranan penting dalam menyediakan pembedahan jantung kritikal bagi kanak-kanak di seluruh rantau Asia Tenggara.
Pada tahun 2023, SEACHF berjaya mencapai matlamatnya untuk menyelamatkan empat nyawa setiap hari. Sepanjang tahun tersebut, sebanyak 1,524 orang kanak-kanak menerima rawatan yang telah menyelamatkan nyawa mereka, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan yang dibantu sejak penubuhannya berjumlah 16,493.
Di Malaysia, inisiatif ini terus diperluaskan impaknya dengan sebanyak 111 orang kanak-kanak menerima bantuan sepanjang tahun 2023. Sehingga bulan Jun tahun ini, sebanyak 671 orang kanak-kanak di Malaysia telah mendapat rawatan jantung. Kerjasama erat bersama Yayasan IJN dan Gleneagles Hospital Kuala Lumpur telah menjadi faktor utama dalam kejayaan usaha ini di Malaysia.
Naib Presiden Operasi Pasaran bagi Nu Skin Malaysia dan Brunei, Hendrix Wong berkata, “Inisiatif Force For Good ini mencerminkan semangat sebenar menggunakan jantung untuk mencetuskan perubahan.“
Seorang daripada keluarga yang menerima bantuan SEACHF, Mohd Shazri Mohd Isa, meluahkan rasa syukur mereka: “Sokongan yang diberikan SEACHF telah membantu kami melalui saat-saat yang sukar dan hari ini kami bersyukur dapat menikmati masa bersama sebagai sebuah keluarga.”