1 Oktober 2024, 19:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Port Dickson – Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas (MDK) merupakan satu usaha untuk memperkasakan budaya membaca di sekolah menerusi penggunaan bahan bacaan yang berkualiti seperti majalah kerana dapat mempertajam minda pelajar dan membantu guru meningkatkan prestasi pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Demikian ucapan Pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah, YBrs. Puan Nurul Julia Alani Henry ketika Majlis Penutupan Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas Kembali ke Sekolah Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Utama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Intan Perdana pada hari ini.

Beliau berkata:

Usaha untuk memperkasakan budaya membaca, khususnya dalam kalangan pelajar perlu digiatkan bagi melahirkan masyarakat MADANI dan masyarakat yang cinta akan ilmu.

Bahkan katanya, pelaksanaan Program MDK adalah sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menginginkan para pelajar terlibat dalam proses pembudayaan ilmu termasuklah menjadikan pembacaan sebagai satu daripada budaya hidup.

Sebanyak 152 orang pelajar sekolah menengah dan 38 orang guru dari 38 buah sekolah terpilih di sekitar Port Dickson dan Seremban telah menyertai program ini.

Pengarah DBP Wilayah Tengah, YBrs. Puan Nurul Julia Alani Henry sewaktu menyampaikan ucapan.

Ujar beliau lagi,

Pelopor MDK, iaitu Cikgu Azizul Rahman Abdul Rahman merupakan Tokoh Guru Johor, Tokoh Guru Kebangsaan 2016, Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2016 dan Pengetua Cemerlang. Sepanjang menjadi pendidik, beliau banyak menjadikan majalah terbitan DBP, iaitu Dewan Siswa dan Dewan Pelajar sebagai bahan PdP yang berkesan.

Katanya lagi, “Dalam usaha untuk melahirkan bakat baharu dalam bidang penulisan, program MDK ini berupaya menggalakkan pelajar berkarya menerusi bimbingan dan aktiviti berkumpulan serta menyerahkan karya mereka kepada DBP, kemudian karya terpilih akan disiarkan menerusi majalah Dewan Siswa.”

YBrs. Puan Nurul Julia juga berkata, kejayaan tersebut kemudiannya akan menjadi “tiket” untuk anak-anak ini menjadi peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) yang merupakan program berimpak tinggi anjuran DBP yang telah terbukti melahirkan banyak penulis muda yang berjaya di negara ini. Beliau turut menekankan bahawa:

Para pelajar boleh mengetengahkan bakat mereka menerusi peluang untuk berkarya dalam majalah Tunas Cipta yang sekali gus merintis jalan kepada dunia sastera dan penulisan yang lebih meluas. Lebih membanggakan, banyak karya penulis muda ini mendapat pengiktirafan dalam pelbagai anugerah yang berprestij, antaranya termasuklah Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Hadiah Karya Tunas Cipta seterusnya Dewan Siswa yang merupakan majalah terbitan berkala, iaitu majalah yang diterbitkan pada setiap bulan.

Majalah terbitan DBP juga boleh diakses secara digital menerusi portal JendelaDBP, iaitu portal digital yang telah dilayari oleh hampir 10 juta pelayar dari 172 buah negara sejak pengoperasiannya pada Mei 2021.

Maka itu katanya, pelaksanaan Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas Kembali ke Sekolah Peringkat Negeri Sembilan ini tidak akan terhenti setakat hari itu sahaja. Beliau berharap agar majalah Dewan Siswa akan terus menjadi bahan bacaan berkualiti yang menjadi pilihan pelajar dan para pendidik pada masa ini dan masa akan datang.

Dalam perkembangan yang lain, Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan yang juga wakil Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan YBrs. Encik Mohd Aiman Abd Aziz berkata, sejak dilaksanakan pada tahun 1989, program MDK telah terbukti dapat membantu guru mempelbagaikan kaedah dan teknik dalam proses PdP di dalam kelas serta memberikan manfaat kepada beribu-ribu orang pelajar yang telah menyertainya.

Tambahya, pelajar juga dapat mempelajari pelbagai teknik dan strategi yang berkesan dalam penggunaan majalah. Teknik dan strategi tersebut dikongsi sendiri oleh editor majalah Dewan Siswa dalam setiap program MDK yang dilaksanakan.

Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Negeri Sembilan YBrs. Encik Mohd Aiman Abd Aziz.

Penggunaan majalah terbitan DBP sebagai bahan bantu PdP berupaya meningkatkan kecekapan berbahasa dan ketepatan berkomunikasi dalam kalangan pelajar. Melalui pembacaan dan penganjuran program MDK, para guru dapat mendidik para pelajar menjadikan bahasa Melayu sebagai saluran pengungkapan buah fikiran dan ilmu pengetahuan yang berkesan, betul dan indah. Selain itu, usaha tersebut dapat mengasah bakat dan potensi diri dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif.

Kata beliau, Program MDK dan pemasyarakatan majalah dalam kalangan warga sekolah terutamanya pelajar berupaya melahirkan bakat baharu yang dapat menyumbang kepada aktiviti pengkaryaan dalam kalangan pelajar, dan pada suatu hari nanti akan lahirnya tokoh penulis prolifik yang akan mewarnai dunia pengkaryaan dan membangunkan ketamadunan bangsa.

Guru-guru membantu pelajar dalam aktiviti meneruskan pengakhiran cerpen.

Program MDK pada hari ini dimulakan dengan taklimat peluang penerbitan dalam majalah terbitan DBP. Seterusnya pelajar-pelajar berpeluang melaksanakan aktiviti MDK seperti menukarkan bahan rencana kepada pantun dan komik kepada rencana.

Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar turut membantu pelajar menghasilkan pantun dalam aktiviti menukarkan rencana kepada pantun.

Aktiviti meneruskan cerpen pula merupakan antara aktiviti yang diminati oleh para pelajar. Terdapat pelajar yang mengambil kesempatan untuk menunjukkan bakat terpendam dalam bidang penulisan cerpen dengan menghasilkan pengakhiran cerpen yang menarik. Begitu juga dengan aktiviti teka peribahasa dan kuiz menara belon yang dilaksanakan oleh para fasilitator.

Para pelajar semasa menghasilkan menara menggunakan belon sewaktu aktiviti kuiz menara belon.

Turut bersama-sama dalam program ini yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Intan Perdana, Port Dickson, Negeri Sembilan ialah Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Unit Sumber Teknologi Pendidikan Pejabat Pendidikan Daerah Seremban, YBrs Dr. Azizah Sanusi; Timbalan PPD Sektor Pembelajaran Pejabat Pendidikan Daerah Port Dickson, YBrs. Dr. Maizatul Akma Aziz; Pengetua SMK Intan Perdana, YBrs Encik Adly Hazrami Masngadi dan Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar.

Antara tetamu yang hadir dalam Majlis  Penutupan Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas Kembali ke Sekolah Peringkat Negeri Sembilan.
Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.